OPERASI CINTA HAQIEL

OPERASI CINTA HAQIEL
RM30 SM / RM33 SS
postage RM8 SM / RM13 SS
Bukan mudah Si Haqiel nak pikat hati Ainan yang macam batu ni tau...Kesian dia ðŸ˜†ðŸ˜†.Mari layan bab seterusnya.

MELIHAT Ainan yang duduk di sebelah Tuan Arman di sofa, Haqiel mengeluh. Sedari tadi Ainan langsung tak bertanya khabar dia. Hanya Fahri sahaja yang duduk di sisinya. Ingatkan bila dia sedar, Ainan ada temankan dia. Rupa-rupanya tidak.

Masa dia sedar tadi, cuma hanya ada Fahri sahaja di situ. Fahri ada beritahu yang Ainan balik ke rumah untuk bersihkan diri dulu sebelum datang semula dengan Tuan Arman. Semalam pun Ainan yang temankan dia. Tapi sekarang macam tak peduli langsung pula. Naik pening dia fikir. Ainan risaukan dia atau tidak? Tapi macam tak saja. Kecewanya.

“Kenapa jeling macam tu sekali?” Tanya Fahri.
“Dia langsung tak tanya khabar aku. Aku ke, Tuan Arman yang terlantar sakit sekarang ni?”

Terhambur kata-kata tak puas hati dari mulut Haqiel dengan tingkah Ainan terhadapnya. Sekarang ini bukan perut saja yang sakit, hati dia pun macam nak masuk ICU juga ini. Pedih betul! Dia menjeling Ainan dengan geram.

Fahri menghamburkan tawa sehingga menarik perhatian Ainan yang rancak berbual dengan Tuan Arman.
“Eh, kau dah kenapa? Ini hospital tau. Agak-agaklah nak ketawa pun. Tak nampak ke siapa terlantar depan kau tu?” Ainan menegur. Sejak ada Haqiel, makin bahagia pula dia nampak Si Fahri ini.

‘Ooo... dia nampak aku terlantar sakit. Tapi buat tak tahu. Sampai hati betul!’

“Nampaklah. Alah... bukannya orang lain dengar pun. Tan Sri Jamal kan dah tempah bilik ni khas untuk Haqiel.”
Ainan mencebik. Ada saja jawapan lelaki itu. Fahri sekarang semakin kerap menyindir dia. Ini semua sebab berkawan baik dengan pesakit itulah. Dulu Fahri mana berani macam ini.

“Ainan, kau tak nak tanya khabar Haqiel ke? Dah lama dia sedar ni.” Sengaja Fahri mahu melihat reaksi Ainan.
“Dah sedar, kan? Okeylah tu.” Balas Ainan selamba. Bukan dia tak tahu apa tujuan Fahri. Dia masak sangat dengan perangai lelaki. Lagipun, dia boleh tanya doktor keadaan Haqiel. Itu lebih sahih. Tanya Haqiel nanti, mengada-ngada saja yang lebih.

“Bukan semalam kau yang paling kalut ke? Siap teman Haqiel naik ambulans lagi. Sekarang buat tak tahu pula.” Perli Fahri selamba.

“Kau ingat aku suka-sukalah naik ambulans tu. Aku cuma nak balas budi aje. Dia kan pernah hantar aku dekat hospital. So, aku nak balas baliklah. Kiranya lepas ni aku dah tak ada hutang dengan dia.” Jawab Ainan sambil mencebik.

Berubah terus wajah Haqiel mendengarnya. Fahri sudah menggaru kepala. Ainan memang tak pandai nak jaga perasaan Haqiel yang tengah sakit ini agaknya. Memanglah menipu itu berdosa, tapi apa salahnya kalau dia jaga hati orang. Cakap itu biarlah beralas sedikit. Ini tidak, nak juga sakitkan hati Haqiel.

“Tan Sri Jamal bagi Haqiel cuti sampai sembuh. Jadi, sementara itu hanya Ainan dan Fahri yang bertugas di rumah beliau.” Jelas Tuan Arman. Dia terkejut apabila Fahri khabarkan tentang serangan semalam dan Haqiel tercedera.

“Maafkan saya, tuan. Saya tersalah langkah semalam dan membuka peluang luas untuk mereka kalahkan saya. Mujur ada Fahri dengan Ainan semalam. Kalau tidak, entah apa nasib saya. Saya dah susahkan mereka dan malukan tuan pula.” Keluh Haqiel kesal.

“Bukan salah kamu pun. Yang penting sekarang ni, kesihatan kamu tu. Saya tak pernah rasa malu kalau salah seorang dari kamu tercedera. Malah saya rasa bangga sebab kamu semua sanggup berkorban sampai macam tu sekali. Tan Sri Jamal pun siap pujuk saya untuk ambil kamu bertiga kerja direct dengan dia. Memang taklah saya nak lepaskan. Kamu bertiga kekuatan syarikat saya tu.”

Memang setiap kali Ainan dan Fahri bertugas di luar, klien pasti akan menghubungi dia untuk mengambil mereka bekerja tetap sebagai pengawal peribadi mereka. Dia memang tak akan lepaskan kerana mereka berdua banyak membantu dia menguruskan staf-staf yang lain semasa bertugas.
“Betul tu, Haqiel. Kau jangan risaulah.” Sokong Fahri, memujuk.

“Kau kena belajar banyak lagi. Jangan benarkan musuh serang kau macam semalam. Dan kalau cedera tu, jangan sibuk nak bangun tunjuk kuat. Ini tak, sanggup abaikan keselamatan semata-mata nak tunjuk kuat. Nasib baik aku ada, tahu tak? Kalau tak, kami ziarah kubur kau ajelah jawabnya.” Ainan memberi nasihat sambil diselitkan dengan bebelan sekali.

Tuan Arman tersenyum, nampak serasi pula budak berdua ini. Susah dia nak tengok Ainan membebel macam ini. Tapi kalau dengan Haqiel, memang dia nampak Ainan lain sikit. Dalam marah, terselit nasihat supaya lebih berhati-hati.
“Haqiel tengah sakit ni. Kau nak membebel pula. Agak-agaklah Cik Ainan Syahira oii...”

“Yang sakit tu perut dia, telinga dia tak ada masalah pun. Jadi dia boleh dengar dan hadam dengan jelas semua ni.” Jawab Ainan selamba.

“Sudah tu, jangan bergaduh lagi. Haqiel, saya kena balik office sekarang. Nanti saya datang lagi. Berehat dan jangan banyak bergerak. Baru cepat sembuh sikit.” Pesan Tuan Arman.

“Terima kasih tuan sebab sudi datang melawat saya, walaupun saya tahu tuan sibuk.”

“Oh, ya. Nak saya call parent kamu? Ke dah ada yang beritahu mereka?” Tanya Tuan Arman. Dia tak nampak pula ada orang lain yang datang, melainkan mereka dan keluarga Tan Sri Jamal bersama pihak polis sebentar tadi.

“Tak payahlah, tuan. Saya tak nak mereka risau. Bukannya teruk sangat pun.” Haqiel tak mahu keluarganya tahu apa yang berlaku kepadanya. Lagipun, apa dia nak jawab kalau mereka tahu pekerjaan dia sekarang ini. Mahu seminggu dia disoal siasat nanti. Itu lagi memenatkan.
“Ainan, kau temankan Haqiel sekejap. Aku ada hal nak bincang dengan tuan dekat luar. Boleh, kan?”

‘Kau sengaja ajekan, Fahri? Ingat aku tak tahu ke? Kau sengaja nak aku berdua dengan Haqiel, kan?’
“Pergilah. Tiba-tiba kau ada hal nak bincang dengan tuan, ya.” Sindir Ainan sambil mengecilkan matanya.
Fahri hanya tayang sengih. Kantoi.


No comments:

Post a Comment