KOMBO TRIPLE BAD BOYS

READY STOK TERHAD
KOMBO TRIPLE BAD BOYS 
RM115.00 SM / RM125.00 SS
termasuk postage
#JIBRAEL
Dara Adalia melabuhkan punggung di sisi Jibrael setelah selesai menghidangkan makan malam buat Jibrael. Jus oren sejuk dituang ke dalam gelas. Ditolak rapat kepada Jibrael. Hanya pinggan dan gelas Jibrael sahaja yang penuh. Tidak pinggan dan gelas Dara.

Jibrael yang baru sahaja mahu menyuap makanan ke mulut, terhenti. Jemari yang menggenggam nasi dan lauk berpatah semula ke pinggan. Keruh riak wajahnya memandang pinggan kosong Dara. Hala pandangan beralih ke wajah wanita itu.

“Kenapa kau tak makan?” Tajam renungannya tepat ke sepasang mata Dara. 

Lekas-lekas Dara alihkan pandangan. Tunduk sambil jemari mulusnya meramas-ramas hujung baju. Tampak resah.

“Saya tak selera.”

Mendengarkan itu, Jibrael mengetuk-ngetuk jarinya ke pinggan agak kuat. Membiarkan jemarinya bebas dari sebarang makanan yang melekat. Lelaki itu menghempas tubuh ke penyandar kerusi. 

“Tak selera kenapa?”

Dara menggeleng perlahan. Wajahnya muram. Badan rasa tak sihat.

Jibrael tarik senyum sinis.

“Ke kau letak racun dalam ni? Mana tahu kalau kau nak bunuh aku.”

Dada Dara Adalia serta merta panas mendengarnya. Mengangkat punggung, pinggan yang kosong terus diisi nasi dan lauk. Terus sahaja Dara Adalia menyua nasi ke mulut. Jibrael yang memerhatikannya tidak dipedulikan. Biar ini jadi bukti bahawa dia bukan manusia jahanam yang tergamak hendak meracun manusia lain sedemikian rupa. Walaupun perangai spesies seorang Jibrael ini memang patut pun diracun.

Dengan payah dan wajah yang berkerut, Dara cuba menelan makanan yang ada di dalam mulut. Entah mengapa tekaknya terasa begitu pahit. 

Selesai suapan pertama, Dara mencuba suapan yang kedua dengan penuh susah payah. Air mata bergenang. Suhu badan terasa tidak tentu arah. Sejuk panas singgah bergilir-gilir.

Suapan kali ketiga Dara teruskan. Namun, serta merta tekak dan perutnya seakan menolak kuat makanan itu keluar semula. Dara pekup mulut rapat-rapat.

“Kau apa hal?!” Perasaan Jibrael ikut tidak tentu arah seperti mana tindak-tanduk Dara Adalia.

Tidak mampu menjawab soalan Jibrael dengan mulut yang tertutup, Dara bingkas bangun menuju sinki. Meluahkan setiap butir nasi yang baru sahaja ditelan sebentar tadi. Peluh memercik di dahi. Cepat-cepat Dara membersihkan mulut saat melihat Jibrael mendekat. Tisu dicapai, mengeringkan mulut yang basah.

Lelaki itu membersihkan tangan. Mengeringkan dengan tisu seraya mula melangkah pergi tanpa menyoal apa-apa.

“Kau siap sekarang. Kita pergi klinik.”

Dara masih kaku di situ. Memikirkan apa sebenarnya sedang berlaku. Keracunan makanankah dia? Atau… 

“Sekarang!” Tegas Jibrael lagi bersama jelingan tajam.

*******

“TAHNIAH! Isteri encik mengandung dua bulan.” Doktor perempuan bertudung labuh itu tersenyum lebar sambil memerhati riak wajah kedua-duanya.

Serta merta Jibrael ukir senyuman. Melirik kepada Dara Adalia di sisi. Selamba Jibrael menarik kepala Dara Adalia dekat kepadanya. Dahi Dara Adalia dikucup sesaat. Kepala Dara Adalia digosok perlahan.

“Good girl… thanks.” Sempat Jibrael berbisik ke telinga Dara. Lelaki itu kemudiannya menunduk mencium perut Dara.

“Jibrael!” Wajah Dara merona merah. Marah bercampur malu. Marah dengan kelakuan kurang sopan Jibrael. Malu dengan puan doktor yang memerhati.

“Apa?!” Jibrael angkat kepala. Memandang kepada Dara. Seketika kemudian menghala pandangan kepada doktor wanita itu.

“Dengan isteri tak apa kan, doc?” Jibrael pamer sengih nakal.

“Eh… takpa. Halal.” Doktor wanita itu tersenyum. Melayankan sahaja karenah Jibrael.

Jibrael jadi seronok. Terus-terusan memaut bahu Dara.
Dara tersentak diperlakukan begitu. Tapi, peduli apa pada Jibrael. Dara Adalia hak miliknya. Dia bebas melakukan apa sahaja, di mana sahaja yang dia mahukan.

Walaupun Jibrael pamer senyuman, Dara tetap berasa tidak tenang. Kerana senyuman seorang Ku Jibrael punya banyak makna.

Dara menyentuh perut sendiri. Tidak tahu apa yang perlu dia rasakan saat ini. Gembira? Ya. Dia gembira. Naluri wanita mana yang tidak gembira saat ada jantung yang mulai berdetak di dalam rahimnya. Ianya impian setiap wanita yang bergelar isteri.

Tapi itu berbeza bagi Dara. Perkhabaran itu umpama menunggu detik mati. Hidup, tetapi mati. 

Bagaimana nanti, untuk berdepan saat dijatuhkan talak oleh Jibrael. Dan bagaimana untuk menempuhi detik perpisahan dengan zuriat sendiri yang dikandungkan selama sembilan bulan 10 hari? Hendak membayangkan pun Dara tak mampu. Bagaimana untuk melaluinya nanti?

“Puan? Puan okey tak?”

Lamunan Dara ternoktah. 

“Hah?! Errr… saya… saya…”

“Eh… dia okey je, doc. Cuma…"

Tak sempat pun Dara Adalia menjawab, Jibrael pantas memintas.

“Cuma dia pernah mengadu yang dia takut nak bersalin nanti.” Bohong Jibrael bersama senyum palsu. Tidak mahu doktor wanita itu menghidu apa-apa keanehan di sebalik riak wajah yang Dara pamerkan.

Pecah ketawa sang doktor. 

“Oh… tentang itu. Puan jangan risau. Bersalin memang sakit. Tapi, semua kesakitan tu akan hilang bila kita lihat wajah anak yang kita lahirkan. Lagipun, suami puan tentu akan ada di sisi puan masa melahirkan nanti. Temankan puan dan beri semangat. InsyaAllah.”

Doktor masih tersenyum. Namun dada Dara Adalia semakin merusuh. Bola matanya berkaca, cuba menahan sebak.

‘You know nothing, doc…’ Hati kecil Dara berbisik sendiri.

***

DARA meluru mengatur langkah ke kamar sebaik sahaja tiba di rumah. Namun langkahnya terhenti apabila tangannya direntap Jibrael.

Hanya dua pasang mata yang bertentangan dan saling berbicara. Sepasang mata tertanya-tanya. Sepasang mata lagi menyatakan kemahuannya.

Jibrael menarik tangan Dara Adalia mengikutnya naik ke tingkat atas dan terus menuju ke kamar.

Tubuh Dara Adalia ditarik rapat ke dalam dakapan. Dara cuba menolak. Tidak selesa dengan tindakan Jibrael. Namun lelaki itu sedikit pun tidak melonggarkan pelukannya.

Jari kasar Jibrael menyelak helaian rambut Dara yang jatuh ke wajah. Lalu diselit ke belakang cuping telinga sang isteri. Kedua-dua tapak tangan naik memegang pipi mulus Dara Adalia. Mata Jibrael lurus menusuk ke sepasang mata Dara Adalia. 

“Thanks untuk berita gembira ni. Ibaratnya, kau dah mula ‘bayar’ hutang kau secara ansuran. Cukup sembilan bulan 10 hari, hutang kau, langsai.” Jibrael sengih mengejek. 

"Seperti yang aku janjikan, once kau pregnant, kau layak untuk tidur dengan aku. Atas katil ni. Dalam bilik ni.” Lelaki itu ukir senyum yang Dara tak tahu apa ertinya.

Dara balas dengan senyum hambar. Keliru. Haruskah dia gembira.

“Erm… cuma aku nak kau tahu. Bukan sebab kau pregnant yang kau boleh tidur atas katil ni. Dalam bilik ni.”

Dahi Dara berkerut tertanya-tanya.

“Tapi sebab anak aku dalam perut ni.” Merendahkan tubuh, Jibrael mengucup perut Dara bersama senyum sinis. “Hello, little angel… Can’t wait to see you…”

Kembali berdiri tegak, wajahnya kembali berhadapan dengan Dara. Senyum sinis milik Jibrael tadi, lenyap. Mencerun pandangannya merenung Dara.

“Dan… keistimewaan ini akan berakhir sebaik sahaja kau lahirkan anak aku. So, jangan fikir lebih dari itu. Jangan sesekali fikir yang aku dah mula cintakan kau.”

Senyum sinis kembali terlukis. Jibrael ketawa-ketawa. Tampak gembira saat cuba menyeksa jiwa Dara. Dara perlu tahu, pendiriannya tetap dan takkan berubah. 

Ketawa Jibrael masih bersisa saat menyusun langkah ke kamar mandi.

Air mata yang bergenang saat hatinya terluka lekas-lekas Dara kesat dengan tapak tangan. Tidak dizinkan air mata itu dilihat Jibrael. Kerana mulai saat ini, Dara perlu mendidik diri, bersedia untuk hidup tanpa Jibrael, lelaki pertama yang menyentuhnya. Suaminya. Lelaki yang pertama dia cinta.

“Tak apalah. Tak payah susah-susah. Lagipun, saya tak nak ganggu ruang privasi awak. Saya tak kisah pun kalau terus tinggal dalam bilik orang gaji sampai saat saya lahirkan anak awak. Saya sendiri selesa tidur seorang.”

Langkah Jibrael terhenti. Rahangnya bergerak-gerak menahan amarah saat terasa dirinya dicabar. 

Detak jantung Dara juga ikut laju.

“Saya nak balik bilik saya.” Tanpa menanti, terus sahaja Dara melangkah laju ke pintu. Tombol pintu dipulas. Daun pintu ditarik. Bersedia untuk pergi. Dan sememangnya dia perlu segera pergi.

“Setapak kau langkah keluar dari bilik ni… kau sakit, Dara Adalia!”

Mendengarkan amaran itu, gerak Dara Adalia terhenti serta merta. Tipu kalau dia katakan dia tidak gentar dengan ugutan Jibrael. Tidak sanggup dikasari lelaki itu. Juga bimbang dengan keselamatan kandungannya.

Akhirnya, pintu ditutup kembali. Sedar bahawa diri tak punya pilihan. Dara Adalia berpatah semula. Melabuhkan punggung di birai katil. 

Dan Jibrael, dalam bisu menghembus nafas lega. 

Shit! Kenapa aku tak mampu biar dia pergi?! What’s wrong with you, Ku Jibrael?!

#EZRAEL
“Hai, sayang...” seru Ezrael separuh berbisik di hujung talian. Sengaja ditekankan panggilan sayang. Bibir melukis senyum nakal. Senyuman yang walaupun tidak mampu Ezza lihat, tapi Ezza pasti dapat ‘mendengarkan’ senyuman itu.

Gegendang telinga Ezza panas. Degup jantung ikut laju. Apa maksud Ezrael dengan ‘sayang’? Apa niat Ezrael memanggil Ezza disaat begini? Disaat Saiful ada dekat dengan Ezza. Disaat Ezza sedang diulit debar bahagia. Dikala detik yang bakal menyatukan Ezza dengan Saiful berbaki kurang beberapa jam sahaja lagi.

Ezrael memang gila! Tiada akalkah untuk memikirkan? Tiada hatikah untuk merasa? Tiada adabkah untuk mempamer hormat pada Ezza yang bakal menjadi isteri Saiful?

“Awak nak apa, Ezrael? Awak ni dah gila ke hah?! Saiful ada dengan saya sekarang.”

Mendengar nada marah Ezza, tawa Ezrael terburai di hujung sana.

“Oh ya? Saiful ada? So?” Sekali lagi tawa lelaki itu meledak. Lucu dengan amarah Ezza. Peduli apa Ezrael kalau Saiful ada pun.

“Okey, okey. Sorry. Sorry... sebab mengganggu detik-detik bahagia kau dengan Saiful. Janganlah marah. Saiful ada beritahu aku, yang kau tak sabar tunggu hari ni tiba. Tahniah. Akhirnya... kan?”

“So?” Ezza pulangkan soalan. Bahagia, tak bahagia. Sabar, tak sabar. Tak ada kena mengena dengan Ezrael.

“Kau patut say thanks dekat aku sebab aku paksa Saiful cepat-cepat tunaikan impian kau.” 

Ezza terdiam. Sedikit termalu. Ya. Kalau bukan kerana Ezrael, entah tahun bila baru Saiful bersetuju untuk menikahinya. 

“Thanks,” ucap Ezza sekadar cukup syarat. Walaupun jauh di sudut hati, masih tertanya-tanya bagaimana caranya Ezrael ‘memaksa’ Saiful. Hanya dengan satu pertemuan, berjaya mengubah keputusan Saiful. Perancangan untuk berkahwin setahun dua lagi akhirnya disingkatkan dalam masa satu minggu sahaja. Pelikkan?

“You’re most welcome, sayang...” Ezrael ketawa-ketawa lagi.

Telinga Ezza kembali berdesing. Dasar tak makan saman. Tak reti bahasa. Tak ada kesedaran sivik punya manusia! Gila! Psiko!

Tawa Ezrael bersisa saat dia mulai sedar yang Ezza hanya berdiam diri.

“Aku call ni cuma nak ucapkan selamat... selamat pengantin baru,” sambung Ezrael. Masih lagi berusaha menahan tawanya.

Mendengarkan itu, darjah panas hati Ezza menurun sedikit. 

“Terima kasih. Ada apa-apa lagi?”

“Semoga berbahagia sampai ke syurga.”

“Terima kasih. Dah habis kan?” Ezza dah tak sabar nak hentikan perbualan. Tak sabar untuk menjadi isteri Saiful. Seterusnya menghentikan gangguan psiko Ezrael dalam hidupnya.

Senyum sinis Ezrael semakin melebar mendengarkan keegoan Ezza. Jangan sombong sangat Ezza.

“Ada lagi... Semoga dikurniakan zuriat yang ramai dan soleh serta solehah. Itupun kalau...”

“Kalau apa?”

“Kalau jodoh kau dengan Saiful sampai...” 

“Awak cakap apa ni, Ezrael?”

Hanya ledakan tawa Ezrael menyambut soalan Ezza. Lalu talian Ezrael matikan.

Kalau Ezza tak sabar menanti detik bahagianya malam ini, Ezrael juga tak sabar menanti ‘bahagia’nya. Malam ini.


#EZRAEL 
“Saiful…” panggil Ezza sehabis perlahan.
Takut-takut Saiful menoleh. Lagaknya seperti sedang dalam dewan peperiksaan. Yang mana menoleh memandang orang sebelah itu menjadi sesuatu yang mencurigakan. Seperti satu kesalahan.

“Ya?”

“Kenapa dorang semua pandang kita macam tu? Mana satu kawan awak? Jomlah kita pergi Saiful. Dah lewat ni. Nanti imam yang nak nikahkan kita tu tak nak tunggu pulak.”

Dan tiba-tiba kedengaran suara enjin kereta di luar rumah. Cahaya lampu terang dari kereta itu menerobos masuk ke dalam rumah.

“Kawan awak ke yang sampai tu?”

Tak menjawab, tapi jelas riak Saiful tidak tenang. Ada peluh yang memercik di dahi. Saiful hanya tunduk dan bernafas. Dadanya berombak laju.

“Saiful… awak okey tak?” Jemari Saiful, Ezza genggam erat. Tak mengerti. Masih tak nampak apa yang sedang berlaku.

Lelaki yang sama membukakan pintu untuk Ezza dan Saiful sebentar tadi, membuka pintu sekali lagi.

“Dorang dah sampai, bos.”

Pandangan Ezza tepat di muka pintu. Keinginan untuk melihat siapa ‘kawan’ Saiful yang dipanggil bos itu meluap-luap. Dalam dada, Tuhan sahaja yang tahu betapa laju degup jantung Ezza. Seakan ada yang berbisik, ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

Dan saat wajah yang dinanti itu terbentang depan mata, jantung Ezza seakan berhenti berdegup. Nadinya juga berhenti berdenyut.

Engku Ezrael!

Melangkah masuk ke dalam rumah itu, wajah Ezza adalah yang pertama dicari. Sempat Ezrael melirik, memerhati Ezza yang begitu cantik dalam persalinan pernikahan. Putih dan suci. Tak mampu Ezrael nafikan jiwa lelakinya bergelora melihat Ezza dalam keadaan begitu. Lebih menambah ganas gelora dalam dada saat dia sedar dan sangat yakin bahawa Ezza akan menjadi haknya. Tak lama lagi. Dah tak lama lagi.

“Ezrael… apa awak buat dekat sini?” Suaranya bergetar, namun cuba Ezza kawal. Mengutip semangat yang berderai mencamtumkannya, membina sedikit kekuatan untuk bersuara.
Melihat riak wajah dan reaksi Ezza, Ezrael tarik senyum lebar.

“Hai, sayang. Kau cantik sangat malam ni…” Lain yang Ezza tanya, lain yang Ezrael jawab. Bengang, Ezza rasa dipermainkan. Melirik ke arah Saiful, lelaki itu hanya tunduk menekur permaidani.

“Saiful…” seru Ezza. Dan saat itu Ezza dapat lihat air mata Saiful menitis.

“Saya minta maaf, Ezza.” Wajahnya beriak kesal. Kesal kerana dia harus melakukan ini. Kesal kerana cintanya, dan setianya tidak seteguh Ezza. Tapi, seperti yang dia selalu kata, peluang tak datang selalu.

“Apa semua ni, Saiful? Minta maaf? Untuk apa?” Seluruh wajah Ezza berkerut. Keruh. Ezza masih belum pasti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Tapi, Ezza pasti ianya bukan sesuatu yang menggembirakan. Dan air mata, mengesahkan suara hati. Titis jernih itu menitik. Takut untuk berdepan dengan kenyataan ini.

“Maafkan saya, Ezza. Saya terpaksa.” Tunduk Saiful semakin ke rendah. Sungguh. Dia kalah. Dia sayangkan Ezza, tapi…

“Saya dah penat hidup susah, Ezza. Ini je peluang yang saya ada. Saya teringin nak senangkan ibu saya macam orang lain.”

“Awak cakap apa ni Saiful?”

Pecah tawa Ezrael menonton drama merpati dua tak sejoli itu.

“Saiful, thanks for good service and… fast delivery. Cantik pula tu ‘packaging’nya. Serius, berbaloi dengan harga. Malah, aku dapat diskaun 70% dari harga asal,” ujar Ezrael sambil matanya meliar menjamah wajah dan batang tubuh Ezza. Lengkap dengan pakej senyum sinis dan nakalnya.

Sepasang mata Ezza dengan mata Ezrael saling bertentangan. Gadis itu cuba memahami setiap satu perkataan yang lelaki itu ucapkan.

Memang inilah topik perbincangan dia dan Saiful beberapa hari yang sudah. Tak sangka, hanya dengan satu tawaran, Saiful sanggup membuang Ezza yang telah bertahun menjadi orang penting dalam hidupnya. Ambil Ezza, dan bawa dia pergi dengan tangan kosong, atau tinggalkan Ezza dengan 30 ribu ringgit dalam tangan. Ternyata, kepingan-kepingan biru dan ungu itu lebih membangkitkan berahi Saiful berbanding perempuan yang dia cinta. Cinta, kononnya.

Malah, memang Ezrael membuat permintaan khas agar Saiful menghantar Ezza dengan persalinan pernikahan begini. Itulah ‘packaging’ yang Ezrael maksudkan. Sebagai simbolik ‘jodoh yang tak kesampaian’ antara Ezza dengan Saiful. Agar lebih mudah kerja Ezrael nanti. Mudah apabila Ezza membenci dan perlahan-lahan melupakan Saiful. Tak ada manusia normal yang mampu memaafkan orang yang ‘menghina’nya dengan cara begini.

“So… this is yours.” Ezrael menyerahkan sampul surat berwarna coklat kepada Saiful. Kembung dan penuh isinya. Ezza sendiri tak pasti apakah kandungannya.

Merenung sampul itu, Saiful teguk liur. Bukan hatinya tidak sakit, bukan juga dia tak tahu bahawa dia telah menyakiti Ezza. Tapi, Saiful terpaksa.
Penuh rasa berat hati, dan lemah, sampul yang Ezrael hulurkan Saiful capai. Dengan itu, sempurna sudah sebuah ‘urusniaga’.

“Kau dah hantar ‘barang’ aku. Dan aku dah bayar mengikut harga yang kita sama-sama setuju, 30 ribu ringgit. Dan sekarang, dipersilakan…” Ezrael lukis senyum sinis sambil tapak tangannya di hala ke pintu keluar.

Tunduk memeluk sampul coklat di tangan, perlahan-lahan Saiful bangun.

“Saiful… jangan buat saya macam ni. Jangan tinggalkan saya.”

Lengan Saiful Ezza paut sekuat hati. Teresak, hilang sudah rasa malunya terhadap mata-mata yang menonton. Betapa parahnya hati Ezza berdarah saat ini, hanya tuhan yang tahu. Sumpah. Ezza tak boleh terima ditinggalkan dengan cara begini.

“Saya minta maaf Ezza. Saya kena pergi. Awak jangan risau, saya yakin Engku Ezrael boleh jaga awak dengan baik. Dan masa depan awak lebih terjamin kalau awak dengan dia.” Tangan Ezza yang memaut lengannya, Saiful leraikan perlahan. Ezza bukan miliknya lagi. Ezza kini kepunyaan Engku Ezrael.

Berdiri, Ezza tegak betul-betul di hadapan Saiful. Merenung tepat ke mata Saiful.

“Kenapa awak buat saya macam ni, Saiful? Saya ingatkan awak betul-betul cintakan saya. Saya ingatkan awak akan lindungi saya. Tapi awak… sanggup awak buat saya macam ni. Saya tak sangka langsung tunang saya, lelaki yang saya percaya, satu-satunya manusia yang ada, tergamak tikam belakang saya.”

“Saya sanggup tolak 100 ribu ringgit, sebab saya pilih awak. Awak tak ternilai pada saya, Saiful. Terlalu berharga. Biar saya tak dapat 100 ribu ringgit, tak apa. Saya tak peduli. Saya tak lapar 100 ribu ringgit. Asalkan saya dapat awak. Tapi awak…” Ezza ketawa-ketawa. Dalam tangisnya.

“Awak sanggup jual saya dekat syaitan ni dengan harga 30 ribu ringgit?! Lelaki jenis apa awak ni Saiful?!” Marah Ezza tak mampu dikawal lagi. Sumpah, Ezza kecewa! Sumpah! Ezza terluka!
Syaitan. Memang itu gelaran paling sesuai buat lelaki yang bernama Engku Ezrael itu. 

Ketawa Ezrael meledak. Sungguh pun perkataan Ezza kedengaran agak biadab, tapi Ezrael tetap berasa lucu. Terhibur depan drama sebabak di hadapannya. Tak kisah dah Ezza nak gelarkan dia apa sekali pun. Asalkan... apa yang dia mahukan, dia akan dapat.

“Saya buat demi ibu. Untuk bahagiakan ibu.”

“Ohhh... demi ibu? Mulianya hati awak Saiful. Dan untung awak masih ada ibu. Tak macam saya. Tak ada ibu. Tak ada ayah. Ada tunang, tapi tunang saya jual saya pada lelaki lain sebab laparkan duit!”

“Alright! Times up! Cukuplah tu. Aku tak banyak masa nak tengok wayang...” Ezrael mencelah. Membuatkan perhatian Ezza dan Saiful terarah kepadanya. Ada senyum mengejek di bibir lelaki itu.
Okey. Kalau dah ‘cukup’ kata Ezrael, selepas ini apa? 

“Saiful... kau boleh pergi.”

“Thanks a lot,” sambung Ezrael lagi. Menambah panas suasana.

Memandang Ezrael, kemudian memandang kepada Ezza, tiada apa lagi yang dapat Saiful katakan. Wataknya sehingga di sini sahaja. Mengikut perjanjian Ezrael dengannya, selepas ini Saiful tak dibenarkan lagi untuk bertemu Ezza. Apatah lagi untuk punya hubungan. Antara dia dan Ezza, sampai di sini sahaja.

Dengan perasaan berbaur, Saiful menuju ke pintu keluar yang telah siap sedia dibukakan buatnya. Semakin Saiful jauh, semakin deras air mata Ezza mengalir. Kecewa. Terlalu. Memejam mata rapat-rapat. Menggenggam penumbuk erat-erat. Ezza masih berharap agar semua ini hanya sebuah mimpi ngeri.

Namun saat Ezza membuka kelopak mata, dia masih di situ. Tanpa Saiful. Dan dengan Ezrael yang kini berdiri betul-betul di hadapannya. 

Ketika telinganya menangkap suara enjin kereta, Ezza semakin pasti bahawa ini semua bukan satu mimpi. Ini realiti. Ini kenyataan.

Melirik ke pintu yang terbuka, Ezza mula melangkah. Ezza mahu keluar. Tanpa Saiful pun tak mengapa. Tapi untuk bersama Ezrael, tak mungkin!
Namun, berbaki tiga langkah lagi, pintu keluar itu ditutup oleh lelaki si penjaga pintu. Berdegil, tombol pintu keluar itu Ezza pulas. Namun tangannya ditepis kasar. Malah lelaki itu berdiri di tengah-tengah pintu. Memalang laluan Ezza.
Di dalam sebuah rumah. Yang di dalamnya ada enam orang lelaki. Dan hanya Ezza seorang perempuan. Dan sendirian. Di luar sana pula langit kian gelap. Jarum menginjak jam 10 malam. Dan Saiful, sudah ke mana halanya. Melepaskan diri sendiri. 

Kesal. Percintaan selama hampir tiga tahun ini, musnah sekelip mata. Angkara 30 ribu ringgit.

“Bukan aku tak pernah beri amaran pada kau, Ezza. Aku pernah cakapkan? Seorang Engku Ezrael, tak pernah tak dapat apa yang dia nak. Aku ‘lamar’ kau cara baik, tapi kau degil... so... jangan salahkan aku. Kau yang minta semua ni.”

Mendengarkan kata-kata Ezrael, hati Ezza jadi panas tak semena-mena. Gadis itu berpusing mencari wajah Ezrael. 

“Siapa awak untuk rampas hidup saya dari diri saya sendiri?! Diri saya bukan hak sesiapa. Tak siapa berhak jual! Dan tak siapa berhak beli.” Dalam takut, Ezza tempik berani. Kalau bukan dirinya yang mempertahankan diri sendiri, siapa lagi? Dah tak ada sesiapa sudi mempertahankannya. Melindungi dirinya. Maka Ezza harus berani.

Tempikan Ezza hanya dibalas senyum sinis. Bunyi sahaja kuat. Sikit pun tak terkesan di hati Ezrael. Agendanya lebih penting dari perasaan Ezza. Ezza cuma alat.

“Tepi! Aku nak keluar!” Kembali menghadap pintu, lelaki yang menghalang jalan Ezza tolak sekuat hati. Dengan kudrat tak sekuat Ezza memukul dada lelaki itu semahunya. Tapi sikit pun lelaki itu tak berganjak. Kedua-dua pergelangan Ezza dikunci kemas.

“Tepi aku kata! Tepi! Aku nak keluarlah bodoh! Bagi aku keluar!!! Aku nak balik!!!” Meronta-ronta Ezza masih berjuang. 

Seorang lagi orang Ezrael menghampir menarik Ezza dari belakang, mengunci lengan Ezza. 

“Lepaskan!!!” jerit Ezza.

“Diam!!!” jerit lelaki bertubuh besar dan tinggi itu. Tanpa peduli, mengheret Ezza kasar menghadap Ezrael yang duduk bersandar selesa di sofa empuk ruang tamu. Lelaki yang memegang Ezza itu menekan Ezza agar melutut di hadapan Ezrael.

“Hei, Abol. Jangan kasar sangat. Kesian bakal isteri aku…” ujar Ezrael. Ketawa-ketawa. Perasaan Ezza kala ini hanya mainan baginya.

“Kenapa awak buat saya macam ni, Ezrael?! Apa salah saya dekat awak?! Kenapa rosakkan hidup saya?! Kenapa rosakkan hubungan saya dengan Saiful?!!!” Bertalu-talu soalan Ezza hamburkan buat Ezrael. Memang Ezza mahu tahu. 

“Awak nak apa, Ezrael? Lepaskan saya! Saya tak ada apa-apa. Saya tak ada duit. Saya tak ada harta. Untuk apa awak simpan saya. Tolonglah Ezrael, lepaskan saya...” Rayu Ezza mendayu-dayu. Sayu suara bersulam air mata.

Ya. Ezrael sedia maklum semua itu. Ezza memang tak punya apa-apa yang Ezrael mahukan. Tapi melalui Ezza, Ezrael akan dapat segala-galanya yang Ezrael mahukan.

Mendekatkan wajahnya dengan wajah Ezza, dagu Ezza didongak agar lurus menatap matanya.

“Kau nak aku lepaskan kau?”

Laju Ezza mengangguk. Memang itu yang Ezza mahu. Lari dari cengkaman Ezrael yang telah merampas ketenangan hidupnya selama ini. 

Melihat tingkah Ezza, Ezrael lukis senyum mengejek. Air mata yang menodai wajah cantik itu, Ezrael sapu dengan jari kasarnya.

“Boleh... aku akan lepaskan kau.”

Kata-kata Ezrael membuatkan Ezza sedikit lega.

“Tapi... dengan beberapa syarat mudah.”

Kelegaan Ezza terancam. Syarat? Syarat apa? Kenapa mesti bersyarat? Dan kalau Ezza tidak dapat menunaikan setiap syarat, bermakna selamanya Ezza akan hidup di bawah cengkaman Ezrael? Begitukah?

“Syarat yang pertama jadi isteri aku. So aku tak perlu rasa bersalah untuk sentuh kau. Kemudian, hamilkan benih aku. Dan yang terakhir, jatuh cinta dengan aku. Hanya tiga syarat, dan selepas terbukti kau cintakan aku, kau bebas untuk pergi.”

“Syarat gila apa ni? Hah? Awak dah gila ke hah? Awak dah gila! Syaitan!!!” Ezza menjerit tanpa peduli. Dalam dadanya benar-benar terbakar dengan apa yang Ezrael lakukan terhadapnya. Terhadap Saiful. 

“Shhh…shhh… shhh…” Jari telunjuk Ezrael mendarat di atas bibir Ezza. Mengunci mulut itu dari terus menjerit.

“Jangan benci sangat. Lelaki yang kau panggil syaitan inilah yang akan jadi suami kau, bapak kepada anak-anak kau. Dan kau sepatutnya berterima kasih pada aku sebab beli kau. Dan sebab aku dah selamatkan kau dari lelaki yang tak berguna. Yang tak ikhlas sayangkan kau. Kalau dia sungguh-sungguh cintakan kau, dia akan tolak tawaran aku dan bawa kau balik malam tu. Tapi tak. Dia terima tawaran aku dengan mudahnya dan setuju untuk tinggalkan kau malam ni. Kau masih tak nampak lagi?”

Terasa longlai seluruh tubuh Ezza. Rupanya, itulah intipati perbincangan antara Saiful dan Ezrael malam itu. Urusan urusniaga. Jual dan beli, dirinya!
Pejam mata rapat-rapat, memaksa mata berhenti merembeskan titisannya.

“Lagipun syarat aku bukan susah sangat pun. Jadi isteri aku, lahirkan anak aku, bercinta dengan aku. Kita akan bahagia, sayang…” ujar Ezrael panjang lebar sambil tapak tangannya tanpa segan silu mengusap pipi mulus milik Ezza, menjalar ke leher, merenung tubuh Ezza. Liar.

“Yang menjual, dan yang membeli sama-sama syaitan! Jangan mimpi! Saya tak sudi jadi isteri awak! Saya tak sudi jadi mak kepada anak-anak awak! Tak hingin bercinta dengan awak!”


#RAEED

RAEED AMZAR FITNESS FANTASTIC. Tak hairanlah bila tubuh lelaki itu begitu ‘cantik’, sasa dan seksi. Pemilik gimnasium rupanya.

Mengintai ke bahagian dalam, kaunter kecil yang terletak di bahagian hadapan, kosong. Tanpa lengah lagi, Ranaa menekan loceng pintu.
Sekali. Tiada sesiapa yang menyambut kedatangannya.

Dua kali. Masih tiada. Beberapa orang pengunjung gimnasium itu sudah mula menoleh-noleh ke arah Ranaa.

Tiga kali. Barulah nampak bayang figura seorang Raeed Amzar. Tercegat di hadapan pintu, Ranaa menanti Raeed melihat kepadanya. Dan ketika mata saling bertautan, langkah Raeed terhenti. Jelas, tergamam. Namun, hanya untuk beberapa saat, sebelum wajahnya kembali beku.

“Yup? Ada apa yang boleh saya bantu?”

“Awak tak nak ajak saya masuk dulu?”

Merenung Ranaa tajam, lelaki itu kemudiannya menjeling sinis. Melempar pandang ke arah lain. Sesungguhnya dia tiada masa untuk semua ini.

“Awak nak apa? Kalau tak ada apa-apa yang penting nak cakap, saya rasa lebih baik awak balik. Saya pun banyak kerja lain nak buat,” ujar Raeed. Langsung tiada senyum. Mempamer riak kurang senang dengan kehadiran Ranaa di situ. 

Membuatkan Ranaa sedikit berkecil hati. Namun, cuba memujuk diri sendiri. Mungkin, Raeed benar-benar sibuk. Almaklumlah menguruskan gimnasium ini sendiri. Tentu banyak perkara yang perlu diselesaikan.

“Hmm… sorry kalau saya ganggu awak. Sebenarnya, saya nak pulangkan baju awak.”

Dengan tangan yang penuh dengan buku, Ranaa berusaha mengeluarkan pakaian milik Raeed yang ada di dalam begnya. Lalu dihulur kepada lelaki itu.
Baru sahaja lelaki itu mahu mengambil pakaian miliknya, Ranaa menarik semula. Memeluk kedua-dua pakaian itu rapat ke dada.

“Sebelum tu, saya ingat nak belanja awak minum. Sebagai tanda terima kasih. Boleh?”

Sekali lagi mata galak Raeed menusuk lurus ke mata Ranaa. Tanpa sempat Ranaa bersedia, pakaian miliknya yang Ranaa peluk, Raeed rentap kuat.

“Thank you! But no, thanks.” Terus sahaja pintu kaca dengan kunci automatik itu Raeed rapatkan. Berlalu masuk ke bahagian dalam gimnasium. Meninggalkan Ranaa begitu sahaja.

Tak semena-mena dada Ranaa turun naik. Mendengus kasar. Sakit hati dilayan sedemikian rupa.


RAISHA’s typing…

Raisha : Raff…

Raff : Yup.

Raisha : Awak rasa dalam dunia realiti, ada tak lelaki yang sudi terima saya dengan keadaan saya macam ni?

Raff : Kenapa awak tiba-tiba tanya macam tu?

Serta-merta bayang Raeed Amzar bergentayang di ruangan mata Ranaa. Tanpa sedar Ranaa melukis senyum.

Raeed Amzar. Lelaki itu berbeza dari yang lainnya. Tanpa bicara manis, tanpa tindak tanduk romantis, bersama riak wajah yang sentiasa bengis, beku, sejuk seperti ais, sifat pelindung lelaki itu jauh lebih ‘menggiurkan’ jiwa Ranaa.

Seringkali Ranaa Aisha dipertemukan dengan lelaki-lelaki acah drama jam tujuh petang. Ranaa bosan. Ranaa jemu. Ranaa sudah tepu. Bukan lelaki sebegitu yang Ranaa mahukan untuk dijadikan teman jiwa sepanjang hayat.

Dengan status Ranaa begini, dengan konflik keluarga yang semakin hari semakin merusuh, dan dengan hidup ‘bersendirian’ meskipun tak bersendiri, Ranaa perlukan lelaki yang ikhlas menerima segala keburukan Ranaa. Lelaki yang sudi menjaga dan melindungi Ranaa dalam keadaan apa sekalipun. Persoalannya, wujudkah lelaki sebegitu? Kalau pun wujud, mahukah mereka menerima seorang Ranaa Aisha. Bak kata Ustazah Jannah, ‘anak haram’. Dan kalau lelaki itu menerima Ranaa, bagaimana pula dengan keluarganya?

Semakin jauh Ranaa berfikir, jalan yang Ranaa nampak semakin sulit.

Raisha : Awak nak tau tak, baru-baru ni saya ada kenal sorang lelaki. Sejak kali pertama kami jumpa, saya rasa… dialah orangnya.

Raff : Okey……… teruskan. Haha.

Raisha : Awak… saya serius ni.

Raff : Okey okey. Sorry.

Raisha : Lelaki tu… lain. Tak macam lelaki lain.

Raff : Mesti lelaki tu macam saya kan?

Kali ini senyum Ranaa lebih lebar.

Raisha : Kalau saya boleh jumpa awak depan-depan, saya takkan pandang dah lelaki lain.

Raff : Yalah…

Raisha : Tak percaya?

Raff : Tak.

Raisha : Okay then… jom kita jumpa.

Raff : Haha! Jangan merepeklah sayang…

Raisha : Kenapa tak? Seriously… kalau awak jumpa saya secara realiti, awak akan terima saya tak?

RAFF’s typing…

Lama. Dan Ranaa masih merenung skrin. Menanti jawapan dari Raff. Namun puas Ranaa tunggu. ‘RAFF’s typing…’ itu akhirnya hilang. Senyap. Sepi. Begitu sahaja.

Raisha : ? Kenapa diam?

Raff : Sayang… tukar topik boleh?

Raisha : Kenapa? Sebab awak pun takkan boleh terima saya kalau kita jumpa betul-betul. Kan?

Raff : Tak. Bukan tu. Ini bukan soal boleh terima atau tak. Dan ini bukan tentang awak.

Raisha : Maksud awak?

Ranaa tak faham. Kalau bukan tentang Ranaa, habis tu tentang siapa? Atau itu sebenarnya sekadar alasan Raff untuk tutup cerita.

Raisha : Apa maksud awak? Saya tak faham.

Raff : Tak apa. Awak tak perlu faham. Dan awak takkan faham. Lagipun dari awal lagi kita dah janji kan? Kita, sampai sini aja.

Raisha : Hmm… tak payahlah berdalih, Raff. Saya tau, awak pun tak boleh terima perempuan macam saya. Saya sedar. Don’t worry. I’m okay.

Raff : Raisha… please.

Raisha : Tak tak. Saya okey. Sepatutnya dari awal saya tak tanya macam tu. Salah saya. Sorry. Awak tak salah. Dan memang hak awak untuk pilih perempuan yang lebih baik.

Raff : Raisha… bukan macam tu.

Raisha : Erm… saya ada kerja nak buat. Nanti chat lagi. Bye.

Raff : Raisha…

Raisha : End.

Bibir melukis senyum pahit. Bola mata berkaca. Telefon bimbit yang ada di tangan, Ranaa genggam sekuat hati sebelum hampir sahaja melemparkan alat telekomunikasi ini ke dinding.

Merenung kosong apa yang ada di hadapannya. Bertanya kepada diri sendiri. Kenapa mesti marah? Kenapa mesti marahkan Raff. Bukan Raff yang menjadi punca Ranaa jadi anak luar nikah. Kenapa mesti marahkan Raff? Raff berhak pilih yang terbaik untuk dirinya. Kenapa mesti marahkan Raff? Biar apa pun alasannya, Raff tak salah.
atau
atau

No comments:

Post a Comment