DIA SELALU DI HATI ~ WAWA

Rm41 sm / rm47 ss
termasuk pos.

“Jom makan,” panggil Kay yang baru siap memasak. Dia melangkah masuk ke ruang tamu apabila tidak mendengar sahutan daripada temannya. Entah apa yang dibuat Ifftiyah. Sejak tadi temannya itu asyik termenung. TV terpasang tetapi fikiran temannya itu hangut entah ke mana.
Dia berlabuh duduk di sisi Ifftiyah. Ditepuk bahu temannya beberapa kali. 
“Kur semangat aku. Lain kali jangan buat aku macam ni. Nanti tak pasal-pasal aku kena masuk ICU,” marah Ifftiyah. Dia member ruang sedikit kepada temannya itu untuk duduk lebih selesa disebelahnya.
“Kau ada masalah apa sebenarnya ni. Sejak dua menjak kebelakangan ini aku lihat kau asyik termenung. Dalam kelas pun termenung. Dekat rumah pun termenung. Nak makan pun termenung,” bebel Kay. 
Ifftiyah melepaskan keluhan.
“Mengeluh lagi. Aku dah tak nak dengar bunyi tu lagi. Orang yang berputus asa saja yang mengeluh. Kau pun dalam kategori tu ke?” dia menyoal. Tangan Ifftiyah ditariknya menuju ke ruang dapur.
“Kita makan dulu. Aku masak sedap ni. Masakan kegemaran kau,” di hulurkan pinggan kosong kepada Ifftiyah.
“Pinggan kosong saja? Tolonglah ambil untuk aku,” Ifftiyah tunjuk muka comelnya. 
“Nasi dan lauk ada dalam periuk. Sila ambil sendiri,” 
“Pleaseeee…” 
“Ya Allah kau ni pemalas sungguh. Takkan nasi dan lauk pun aku kena ambil untuk kau. Dahlah minggu ni giliran kau masak tetapi kau pura-pura tak ingat. Last-last aku juga yang kena masuk dapur,” bebel Kay.
“Alah… minggu depan aku ambil turn kau pula. Sorrylah. Aku banyak hal sangat minggu ni. Assignment banyak nak dibuat aku pula bukan macam kau, tak membaca pun tapi setiap semester result kau tip top,” tersengih-sengih Kay menerima pujian. 
Budak ni seoarang memang senang nak dimakan. Puji sikit-sikit memang terus cair. Tapi memang pun Kay dikurniakan otak yang geliga. Tidak perlu bersengkang mata membaca tetapi keputusan yang diperoleh mengalahkan orang yang membaca 24 jam sepertinya. 
“Iyalah..iyalah…” dia bangun dan beberapa minit kemudian datang semula dengan membawa lauk yang baru dimasaknya.
“Jom kita makan. Aku dah lapar tahap kebuluran ni,” dia capai sudu dan mula menyendukkan kuah ke dalam nasi.
“Ya Allah Iffti. Kau ni dah kenapa. Depan-depan rezeki boleh bertongkak dagu macam ni. Aku tak fahamlah dengan kau ni. Kejap-kejap mengeluh. Kejap-kejap mengeluh. Kau ni dah kenapa sebenarnya? Hantu apa dah masuk dalam badan kau ni?” soalnya.
Sekali lagi dia melepaskan keluhan. Nak bercerita kepada Kay tetapi mulutnya terasa
berat. Dia renung wajah temannya itu.
“Aku suka-suka je termenung,” lain yang dia mahu cakap lain pula yang terkeluar dari 
bibirnya. Hish susah betul mahu berterus terang. Bukan dia tidak percayakan Kay tetapi dia tidak
sanggup melihat reaksi gadis itu apabila dia berterus terang nanti.
“Kau boleh percayakan aku. Insyallah apa yang kau ceritakan itu tidak akan sampai kepada orang lain,” Kay berkata apabila melihat Ifftiyah agak keberatan untuk berterus terang. Dia tahu sekarang ni Ifftiyah dilanda masalah.
Wajah Kay dipandang. Nasi dalam pinggannya kais-kais saja. Seleranya sudah terbantut.
“Kau memang nak tahu sangat-sangat?” dia menyoal.
Kay angguk. 
“Macam aku kata tadi kau boleh percayakan aku. Benda yang kau ceritakan ini akan pecah diperut saja,”
“Walaupun pun dengan Haniff?" Ifftiyah meminta kepastian. Kay angguk.
“Kalau tu yang kau nak. Aku tak akan cakap dengan dia,” Kay beri jaminan. 
Ifftiyah tarik nafas lega. Itu yang dia nak. Dia tidak mahu Haniff mengetahuinya. Biar 
lelaki itu langsung tidak tahu, itu lebih baik bagi lelaki itu dan lebih baik juga baginya. Dia tidak 
mahu ada rasa serba salah nanti.
“Kau percaya aku?” soal Kay.
Ifftiyah angguk.
“Jadi tiada sebab untuk kau sembunyikan masalah kau tu. Walaupun kita baru kenal tetapi aku rasakan hubungan kita ini sudah terlalu rapat. Duduk diperantauan membuatkan kita menjadi rapat. Kau hanya ada aku dan aku hanya ada kau,”
Betul tu. Di sini Kay adalah adik beradiknya, saudara maranya. Mereka memerlukan antara satu sama lain. 
Lagi pun dia memerlukan khidmat Kay kerana majlis akad nikahnya akan berlangsung dua hari lagi. Dia perlukan temannya itu untuk menemaninya menempuh saat-saat genting dalam hidupnya. 
“Berat juga masalah kau ni sampai Haniff pun kau tak nak beritahu. Aku jadi bimbang pula dengan masalah kau ni,” Kay bersuara. Nasi dalam pinggannya sudah licin. Sudah sendawa dua tiga kali. 
“Memang berat pun. Kau sanggup terima amanah untuk rahsiakan benda ni?” dia menyoal. Sekali lagi Kay mengangguk. Alang-alang Ifftiyah mahu bercerita apa salahnya dia menjadi pendengar yang setia.
“Aku nak kahwin,” lancer kata-kata itu keluar dari bibirnya. Dia ingat akan berlaku kegugupan, tak pun menjadi gagap tiba-tiba, rupa-rupanya lancar saja kata-kata aku nak kahwin keluar dari bibirnya.
“Aku pun nak kahwin. Apa masalahnya?” Kay pula bersuara.
“Semua orang nak kahwin. Aku, kau, Haniff dan kawan-kawan kita yang lain tu semuanya pasang niat nak kahwin. Cuma bila kita nak kahwin tu saja kita tak tahu. Mungkin esok, lusa atau mungkin lima tahun lagi. Itu bukan kerja kita tu. Itu kerja Allah,” 
“Cuba kau sabarkan diri tu sikit. Ingat kita ni jauh diperantauan. Jauh daripada mak bapak kita, jadi jangan gatal-gatal nak kahwin. Belajar pun belum habis ada hati nak kahwin. Kalau dengar dek mak bapak kau mesti dia menangis,” panjang lebar syarahan Kay.
Dia ingatkan apalah masalah Ifftiyah yang berat sangat. Mengeluh berhari-hari. Rupa-rupanya mengeluh mahu berkahwin. 
“Aku tahu. Tapi masalahnya sekarang aku dah tahu bila aku nak kahwin. Mak bapak aku dah tentukan dengan siapa aku kena kahwin. Siapa nak jawab tu?” Ifftiyah berkata. Wajah terkejut si teman direnung.
“Kau tak bergurau?” soal Kay.
“Betullll..” Ifftiyah menjawab. 
“Aku dah cakap dengan family aku, dengan ayah aku. Peringatkan depa yang aku ni masih belajar, bukan dekat tapi jauh di Brisbane,” dia sudah mahu mengalirkan airmata. Entah mengapa sebaknya bertandang dihulu hatinya.
“Kejap..kejap.. kau cakap apa tadi? Maksudnya mak dan ayah kau tahu tentang kau nak kahwin ni?” dia menyoal. Peluh didahinya diseka. Orang nak berkahwin dia pula yang berpeluh. 
Tadi tu dia ingatkan Ifftiyah saja-saja bergurau tentang perkahwinan, rupa-rupanya cempedak menjadi nangka. 
Ifftiyah angguk. Kay mengeluh. Wajah temannya itu direnung. Baru dia nampak ada sendu diwajah itu.
“Mak dan abah aku suruh aku kahwin. Dua hari lagi majlis akad nikah aku akan berlangsung,”
“Wait..wait.. aku tak faham lagi ni. Macamana kau orang nak kahwin. Seorang di sini dan seorang lagi di Malaysia. Boleh kahwin main wakil-wakil pula? Aku betul-betul confius ni” dia menyoal. 
“Betul.. aku pun tak faham macamana boleh berlaku. Tapi menurut abah aku dia boleh kahwinkan aku dengan sesiapa saja tanpa memberitahu aku asalkan lelaki yang dia pilih itu sekufu dengan aku. Maksudnya sama taraf,” panjang lebar Ifftiyah bercerita.
“Akad nikahnya macamana?” soal Kay penuh minat. Dia kembali ke tempat Ifftiyah selepas selesai mencuci tangannya. Ifftiyah saja sejak tadi asyik termenung. 
“Aku tak tahu. Tapi kata abah aku semuanya sudah diuruskan. Ada pengantin lelaki, ada wali, ada saksi nikahnya tetap sah walaupun tanpa kehadiran pengantin perempuan. Kata abah aku dia boleh gunakan wali mujbir,”
Ooo.. itu saja yang keluar dari bibir Kay. Susah..susah… macamana dia nak membantu temannya itu.
“Sekarang ni kau nak nikah ke tak?” Kay menyoal. 
“Aku tak tahu...aku serba salah sebenarnya,” Ifftiyah berkata. Nasi di pinggannya masih
lagi banyak yang berbaki. Hanya mampu dikuis-kuis saja. Seleranya memang sudah tertutup habis. 
Habis tu kau dah tengok ke belum rupa bakal suami kau tu? orangnya macamana? Ganteng ke tak. Ada macam muka Haniff tak?” macam peluru berpandu Kay bertanya. Pada masa yang sama membandingkan Haniff dengan bakal suaminya.
Sekali lagi dia menggeleng kepala.
“Aku tiada hati nak tengok. Ada abang aku emelkan gambar dia tapi sampai sekarang aku 
langsung tak buka emel tu,” Ifftiyah berterus terang. Emel yang dihantar abang sulungnya sudah 
diterima sejak dua hari lalu tapi sampai sekarang isi kandungan emel itu belum dilihatnya.
“Hah biar betul kau ni. Nak nikah kenalah kenal rupa laki sendiri. Meh sini aku nak 
tengok emel kau tu,”Kay tarik tangan Ifftiyah.
“Nak ke mana ni. Aku belum cuci tangan lagi ni,” dia berlalu ke sinki. Pinggan di dalam sinki dicuci dan dikeringkan.
“Cepatlah aku nak tengok gambar bakal suami kau,” balas Kay. Dia sudah bersedia mahu berlalu dari ruang dapur.
“Mmm..tak payahlah. Aku malas nak buka note book,” dia beralasan. Memang dia tiada kekuatan untuk melihat wajah lelaki yang dipanggil Harraz.
“Aku tak kira… aku nak tengok juga. Cepat jangan bagi alasan pada aku,” dia membuka note book Ifftiyah. Tertera kata aluan yang perlu dimasukkan. Dia pandang kearah Ifftiyah.
“Apa kata laluan kau ni?” dia menyoal. Mahu tak mahu Ifftiyah terpaksa juga memasukkan kata laluan dan kemudian ditekan kekunci enter. Dia membuka emel dan clik apabila menjumpai dokumen yang dihantar abangnya.
Kay mula membuka. Dia tersengih-sengih sendirian apabila objek yang ditekan itu tertera di skrin note book berjenama ACER itu. Bulat matanya melihat wajah itu. Dia berpaling kearah Ifftiyah yang asyik membaca novel.
“Apa nama laki kau ni?” soalnya. 
“Harraz,” pendek dia menjawab. Yang dia tahu nama lelaki itu saja, bin apa dia langsung tak tahu apatah lagi pekerjaan dan lelaki itu anak kepada siapa. Dia langsung tiada clu untuk soalan itu. 
“Ya Allah sempurnanya ciptaan Allah ni. Handsome gila laki kau ni. Rugi tau kau tak nak tengok. Lebih handsome daripada Haniff,” Kay menjelaskan.
“Haniff tu handsome ke? ” dia pula menyoal. Banyaklah Haniff tu handsome. Kay tu memanglah, tiang elektrik pakai skirt pun dia akan kata cantik. Tang mana handsome si Haniff tu entahlah dia sendiri tidak tahu. Kutuk lebih-lebih ada juga yang meroyan nanti. .
“Aku tengok macam apek Cina saja si Haniff tu. Putih melepak dia tu yang buat aku tak tahan,” Pap! Bahunya ditepuk kuat. Kan dah kata, si Kay ni mana boleh orang kutuk Haniff dia tu. 
“Mengata lagi pakwe aku macam tu. Tapi serius, aku ingat si Haniff aku dah kacak gila tapi rupa-rupanya ada lagi manusia yang kacak. Rambut dia tu perang. Mata dia betul-betul menggoda aku,” Ifftiyah mencebek. 
“Ya Allah Iffti.. aku tak tipu kau, laki kau memang handsome gila. Rugi kau tak tengok gambar dia ni. Nanti kau termengorat laki sendiri siapa mahu menjawabnya,” dia berjenaka. Pelik betul dia dengan sikap Ifftiyah. 
“Barulah trill sikit mengorat laki sendiri. Sekarang ni memang banyak cerita macam ni. Jatuh cinta dengan suami atau isteri sendiri,” Kay mencebek. Banyaklah kau punya trill, silap-silap hari bulan ada yang menangis tak berlagu nanti.
“Kau ingat ni novel cinta ke? Jatuh cinta dengan isteri atau suami sendiri. Tolonglah Cik Aira Ifftiyah binti Halaq oiii sekarang ni zaman siber bukannya zaman kahwin paksa lagi sampai tak kenal pasangan sendiri,”
“Habis tu kau ingat aku nak kahwin suka sama suka ke? Aku ni pun dalam kategori kahwin paksa kalau kau nak tahu. Aku bukan kenal pun bakal suami aku tu,” ujarnya. Geram dia mendengar kata-kata Kay.
“Sebab tu aku suruh kau tengok gambar ni. Taklah bila kau jumpa dia kau tak kenal,” dia bawa latop menghala ke muka Ifftiyah. Pantas saja dia menutup kedua-dua matanya. Kay sudah berguling-guling atas tilam. Geli hati dia dengan sikap temannya itu.
“Weh buka mata kau tu. Tengok ni wajah laki kau…handsome gila laki kau ni. Putih melepak macam orang putih. Eh laki kau ni anak mat salleh celup ke?” Kay bertanya. Lagi-lagi perkataan laki kau…laki kau keluar dari bibirnya.
“Dia belum jadi laki aku lagi,” protes Ifftiyah. 
“Memanglah sekarang ni belum. Lusa dah sah kau jadi bini dia,” Kay membalas.Tempat tidur mereka sudah bersepah. Pesta baling membaling bantal sedang berlangsung. Berselerak tempat itu dikerjakan mereka berdua.
“Kau tak suka ke dengan pilihan ayah kau tu? Kalau kau kahwin ada peluanglah aku mengurat si Haniff tu” selamba saja dia berkata. Bantal yang dilempar Ifftiyah tadi diletakkan di kepalanya. Satu lagi dijadikan bantal peluk.
Ifftiyah mendengus. Nak kena gamaknya minah ni. Kalau dia tak kahwin pun memang dia tak nak dengan Haniff tu. Kalau tak, tak adalah dia bersusah payah nak kenen-kenenkan temannya dengan Haniff tu.
“Kau nak aku cili mulut kau ke? Nak ke?” pantas Kay menggeleng.
“Tahu takut. Kalau aku nak ke Haniff tu tak adanya aku nak kenen-kenenkan kau dengan lelaki tu, buang masa aku saja,” Minah ni tak faham-faham ke? Orang dah nak tolong patutnya berterima kasih. 
Kay tergelak.
“Aku tahulah. Saja aku nak gurau-gurau dengan kau,” dia lihat wajah Ifftiyah berubah. Gurau sikit pun dah sentap. Agaknya beginilah gaya orang nak jadi pengantin. 
“Kau memang tak nak tengoklah ni?” dia bertanya sekali lagi. Latop di atas meja dicapainya. Manalah tahu kot-kot Ifftiyah berubah fikiran. Wajah Harraz terpampang pada skrin note book.
“Biarlah. Aku taknak cemarkan mata aku nanti. Lebih baik aku tak tengok dari aku tengok tapi menyakitkan mata aku,” mulut kata lain tapi hati kata lain. Mendengar kata-kata Kay teringin juga mahu melihat wajah lelaki itu tetapi dia keraskan hatinya. Nanti tak pasal-pasal kena gelak dengan Kay.
“Taknak cemar mata kau atau kau takut nak terima kenyataan. Iyalah laki kau tu handsome sangat tak mustahil kau boleh jatuh cinta dengan dia nanti,” bulat mata Ifftiyah mendengarnya. Kurang asam! Dengusnya.
“Lagi pun kau bukannya lawa sangat pun. Kurus kering, lelaki tengok kau pun tak berselera,” ini lagi kurang asam, desis Ifftiyah. Bantal ditangannya dilempar dan melayang kearah Kay. Cepat saja temannya menangkap.
“Apa ni main lempar bantal. Mak aku pesan bantal ni untuk buat tidur bukan dibaling macam ni,” dia ambil bantal yang dipeluk dan dilemparkan kepada Ifftiyah. Terkekek-kekek dia ketawa bila melihat temannya itu tidak sempat mengelak. Bantal itu terkena badan Ifftiyah.
“Kau ni kan kalau bab mengata aku memang hidup kan. Aku ni boleh tahan jelita okey. Badan kurus bukan sebarang kurus tau. Kurus aku macam model. Kalau tak takkanlah pakwe kau tu asyik nak mengorat aku saja,” selamba Ifftiyah berkata.
“Sorry..sorry aku termengata kau pula,” dia sudah ketawa melihat wajah kelat Ifftiyah. Note book milik Ifftiyah ditutup. Tak apalah kalau temannya itu tidak mahu melihat wajah bakal suami. Nanti pandai-pandailah Ifftiyah mencari kalau berubah fikiran.
Dia sudah bangun. Alas cadar yang berkedut tadi di tegangkan kembali.
“Jom kita keluar cari barang,” dia ajak Ifftiyah keluar. 
“ Ke mana?”
“Kita pergi ke Queen Street Mall. Kau kata nak keluar cari barang,” balas Kay. Ifftiyah mengeluh. Bila masa dia kata mahu keluar cari barang? Dia tidak tahu menahu. Ini pastinya rancangan Kay sendiri.
“Kau nak cari apa?” Ifftiyah blur sendiri. Nak kata mahu cari barang dapur dua tiga hari lepas mereka dah memborong sakan barang dapur di Brisbane Farmers Market.
“Cari baju lawa-lawa sikit untuk kau. Dua hari lagi majlis akad nikah akan berlangsung takkan kau nak pakai t shirt dan kain batik atau baju kelawar kau tu time majlis berlangsung. Agak-agaklah kalau nak protes pun,” ada nada sinis di situ. 
Ifftiyah mengeluh. Agak-agaklah kalau nak sindir dia pun. Takkan dia nak pakai baju kelawar time majlis akad nikah tu. Bukan dia tak tahu keluarganya akan buat video call secara langsung time akad nikah itu dilangsungkan.
“Kau pun agak-agaklah. Takkan kau nak cari baju kurung atau baju kebaya kat kedai di Brisbane ni. Mana kita nak cekau kedai jual benda alah tu,” kali ini nada suaranya pula tinggi.
Betul juga kata Ifftiyah tu, desis Kay. Kenapa dia tidak terfikir tadi. Mereka sekarang ni bukan di Malaysia tetapi jauh di Australia, mana nak cari kedai jual baju kurung. Dia kembali berlabuh atas katil.
“Aku rasa kau ada baju raya tahun lepas yang ada kerawang dan bersulam tu. Aku rasa kau boleh pakai baju tu untuk majlis kau nanti. Warna putih kan?” dia bertanya.
Ifftiyah angguk.
“Aku rasa macam mak kau tahu-tahu je kau kena kahwin tahun ni, sebab tu dia pos baju raya untuk kau tahun lepas. Warna pula putih. Baju untuk orang akad nikah dah tu,” dia bergegas bangun menuju ke almari Ifftiyah.
“Kau ni apa hal serbu almari aku,” Ifftiyah juga bingkas bangun. Bahaya..bahaya macam-macam ada dalam almari dia tu. Silap hari bulan bocor rahsianya nanti.
“Kejaplah..aku nak cari baju ni,” dia cuba menahan tubuhnya dari ditolak Ifftiyah.
“Kau duduk sana biar aku saja yang ambil baju tu dari almari aku ni. Hish ada pula suka-suka buka almari orang. Kau tahu tak dalam ni ada berpuluh-puluh rahsia aku tau,” marah Ifftiyah.
“Nah baju yang kau cari tadi,” Ifftiyah hulur baju kurung bersulam dan berkerawang kepada Kay.
“Cun.. memang cun aku rasa kaulah pengantin paling jelita yang pernah aku tengok. Kejap aku cari tudung. Kau nak tudung colour apa? Putih ke?” dia menyoal.
“Aku rasa putih la kot…” dia bertanya dia juga yang menjawabnya. Ifftiyah mengeluh. Kay.. Kay… kalau tak ada kau maknanya aku menangis seorang diri di sini. Nasib baik Allah pertemukan dia dengan Kay.

No comments:

Post a Comment