BAKI 1 NASKAH SHJ !
RM24.00 SEM / RM27.00 SS
RM8 SEM / RM12 SS
“Awak dah kenapa?” Tanya Farhan sambil dia meletakkan beg di atas meja kecil di sebelah meja kerjanya.
Eisya memandang sekilas wajah majikannya. Awal pulak datangnya bos aku ni. Biasanya bukan ke dia sampai ke pejabat pukul sembilan pagi. Pandangan mata Eisya tertancap pada jam di dinding. Terkejut juga bila melihat jarum jam sudah menunjuk ke angka 9.15 pagi, hingga mengutuskan rasa bersalah di hati. Itulah, berangan tak ikut masa. Agaknya kalau Farhan tidak masuk ke dalam bilik, sah dia termenung sampai 5.00 petang.
“Err... maaf Encik Farhan. Tak perasan pulak tadi.” Eisya memintal-mintal hujung tudungnya sambil menunduk.
“Bos…”
‘Eh, dia panggil aku bos ke?’ Gumam Eisya.
“Saya bukan bos pada Encik Farhan.” Sengih Eisya lagi.
Farhan menepuk dahinya yang luas. “Saya tahulah awak tu bukan bos saya. Tapi saya nak awak panggil saya BOS. Bos! Faham?” Tegang sahaja suara yang dilontarkan oleh Farhan.
“Puan Julia penat-penat bagi nama Farhan, kenapa nak panggil bos pulak?” Tanya Eisya lurus.
Kecil besar sahaja Farhan memandang Eisya. Tension dia bila berhadapan dengan PAnya itu. Boleh buatkan BP dia naik mendadak. Kalau ada sakit darah tinggi, memang boleh mengundang strok.
“Awak boleh tak ikut apa yang saya suruh. Sekarang ni siapa yang bayar awak gaji? Saya ke awak?”
“Awaklah.” Eisya menjawab pelik.
Bulat mata Farhan mendengar jawapan Eisya. “Siapa?”
“Saya? Eh… awak? Eh… peninglah! Encik Farhanlah yang bayar gaji saya. Lagi nak tanya orang.” Bebel Eisya. Main-main pula dia ni.
“Panggil saya BOS!”
“Baik bos.” Tidak sanggup rasanya Eisya ingin memandang wajah Farhan. Nampak sangat anak mata Farhan sedang menahan marah yang amat sangat.
“Sekarang ni saya nak tanya dengan awak. Semalam kenapa awak tak reservedkan makan malam saya dengan Karina di hotel?” Tanya Farhan sambil melabuhkan punggungnya di atas meja.
“Memang bos ada cakap suruh reserved. Cuma bos kata yang lima bintang. Tapi bos tak cakap hotel kat mana, pukul berapa, nak ala-carte ke, nak buffet ke, nak ada lilin ke, nak ada orang main piano ke, nak….”
“Enough Eisya! Kan saya dah kata Royale Chulan. Awak dah lupa ke?”
Zip! Terus terkunci bibir Eisya. Sekali lagi Eisya tertunduk memandang lantai. Daripada memandang muka yang tak pernah senyum tu ada juga faedah tenung lantai bilik ini. Tangan Eisya diletakkan di belakang sambil bermain-main dengan jari jemarinya. Dia sendiri tak beritahu details, kita pula yang kena marah. Tapi salah dia juga sebab tak dengar apa yang Farhan kata semalam.
“Yang awak pun satu. Kenapa tak tanya saya?” Pandangan Farhan terus kepada Eisya yang masih lagi memandang ke lantai.
“Eisya, saya tanya dengan awak ni! Cuba pandang muka saya.”
Perlahan-lahan Eisya mengangkat wajahnya memandang Farhan. Sambil menarik nafas panjang, Farhan menyambung kata.
“Awak tahu tak macam mana si Karina tu naik angin semalam. Awak reserved tempat kat Restoran Lima Bintang? Seriously? Awak sengaja nak bagi malu kat saya ke? Atau memang nak kenakan saya dengan Karina?”
Terkulat-kulat Eisya nak menjawab soalan Farhan itu. “Maaf…”
Hanya sepatah perkataan yang meluncur dari bibir Eisya. Kalau nak bertikam lidah pun memang tak ada guna. Kita ni yang mentimun mesti kena lenyek dengan durian.
Farhan tersenyum penuh sinis. Melihatkan wajah Eisya yang berubah merah menahan rasa, membuatkan hati Farhan bertepuk riang. Rasakan! Memang itu yang dia tunggu. Sengaja dia membiarkan Eisya terbeban dengan perasaan bersalah. Senang kerja untuk dia memecat Eisya dari menjadi PAnya.
“Sekarang ni awak nak buat apa?”
Eisya diam tidak bersuara. Bergetar seluruh tubuhnya apabila ditanya begitu. Nak menangis pun ada. Mendengar suara Farhan yang keras dan tegang membuatkan Eisya sudah tidak keruan. Fikirannya melayang mencari idea menjawab soalan Farhan itu tadi. Nak buat apa? Takkan nak bawa hotel depan mata kut?
“Saya janji tak buat lagi.” Eisya cuba mencuri simpati dari Farhan. Namun Farhan bukanlah orang yang senang termakan rayuan.
“Itu bukan jawapannya.”
Eisya mengeluh perlahan. “Bos beritahu dengan saya, apa yang perlu saya buat?”
“Awak kena ganti rugi apa yang sudah awak buat.”
Terbuntang mata Eisya. Air liurnya bagaikan tersekat di kerongkong. Ganti rugi?
“Saya nak awak booking makan tengah hari di Hotel Hilton untuk dua orang. Saya dan Karina. One more thing. Kalau dia datang sini, saya nak awak minta maaf dengan dia atas apa yang dah awak buat.”
“Tapi…”
“Oh ya, satu lagi. Untuk makan tengah hari tu, awak tanggung semuanya. Sebagai ganti rugi.”
Eisya terlongo. Besar mulutnya terbuka. Tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Panas seluruh tubuhnya apabila mendengar ‘awak tanggung semuanya’.
“Tapi bos…”
“Kalau awak rasa nak kerja lama kat sini, lebih baik awak terima saja tawaran saya ni. Itu sudah cukup baik dari saya saman awak.”
“Hah! Benda kecil macam tu sampai nak bawa saman? Janganlah macam tu bos. Mahal tu. Mana saya nak cari duit?”
Eisya hampir mahu menitiskan air mata. Bergetar seluruh tubuhnya ketika itu. Dengan perlahan air matanya mengalir di pipi. Farhan yang menyedari hanya bertindak seperti tiada apa yang berlaku. Air mata Eisya tidak sedikit pun membuatkan dia merasa kasihan.
“Itu bukan masalah saya. Apa yang saya nak, awak booking untuk saya dan Karina tengah hari ini guna duit awak! Sudah, pergi buat air saya.” Farhan duduk di atas kerusi sambil membuka notebook yang berada di atas meja.
Eisya masih lagi membatu. Dia sendiri tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Mana dia nak cari duit? Paling kurang pun satu kepala hampir dua ratus. Eisya memandang Farhan. Dia masih tidak mengalah untuk mendapatkan simpati dari Farhan agar boleh menarik balik apa yang telah diarahkan.
“Nak tunggu apa lagi?” Jerkah Farhan hingga membuatkan Eisya tersentak.
“Bos… tolonglah. Saya…”
“Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Kalau rasa-rasa tak jumpa pintu keluar…” Farhan bangkit dan membuka pintu untuk Eisya. Hanya dengan gerakan mata yang menyuruh dia beredar, Eisya melangkah keluar dengan perlahan. Air matanya masih lagi mengalir.
EISYA masuk ke dalam bilik pantri dengan tangisan yang masih bersisa. Sempat juga dia menyeka air mata ketika dia melihat kelibat Nizam, seorang kakitangan di bahagian kewangan sedang minum pagi di situ. Berat rasa kakinya melangkah masuk namun dia terpaksa juga. Jika tidak, sudah tentu dia kena herdik sekali lagi dengan Farhan kerana tidak menyiapkan minuman untuknya.
Nizam yang sedang menikmati roti dan kopi, memandang Eisya dengan sekilas. Dia tahu yang Eisya sedang menangis. Pandangannya terus dipakukan ke arah Eisya yang sedang memanaskan air.
“Eisya, awak okey tak?”
Eisya tidak berpaling, sebaliknya dia hanya mengangguk sebagai jawapan untuk soalan Nizam.
“Awak jangan nak tipu saya, Eisya. Saya tau awak sedang menangis.” Balas Nizam.
Terus kaku tubuh Eisya. Tidak berani untuk dia memandang wajah Nizam. Nizam sudah banyak membantunya dan dia tidak mahu masalah ini terbeban di bahu Nizam pula.
“Saya okey.”
“Tak. Saya tahu awak tak okey. Kenapa? Pasal Encik Farhan ke?”
Eisya tersentak. Dengan perlahan dia memusingkan badan dan memandang Nizam. “Macam mana awak tahu? Awak ni keturunan Nujum Pak Belalang ke?”
Nizam sekadar tersenyum. “Saya tahu, kalau awak menangis mesti pasal bos awak tu. Takkan dengan saya pulak, kan?”
Eisya tunduk. Entah mengapa, rasa sedih mula bertukar kepada rasa gembira pula. Kembang hatinya apabila Nizam memujuknya.
email : mybizsantaishop@gmail.com
atau
atau
No comments:
Post a Comment