BAKAL SUAMI TAK JADI ~ COMING SOON

***COMING SOON EBM 2017***

bab 1

“Azhan Farid bin Muhammad. Aku nikahkan...”
“Nanti!”
Terhenti akad nikah. Seorang lelaki bersongkok hitam. Kemas berbaju Melayu satin. Berdiri di ruang tengah masjid. Farid mencerun mata. Terlepas genggaman tangan tok imam. Bakal pengantin perempuan yang duduk tidak jauh dari Farid berubah riak muka. Farid jadi keliru. Apahal pulak ni? Aku baru aje sedia nak jawab lafaz.
“Shikin sayang. Awak dah janji nak kahwin dengan saya. Awak lupa?”
Terbeliak mata Farid. Mak aii! Ayat tak ingat! Bakal isteri aku tu!
Ashikin serba-salah. Wajah Farid dipandang. Ashikin geleng kepala. Belum sempat Farid bersuara, Ashikin bangun. Tangan lelaki tidak dikenali Farid dipegang. Semakin bulat mata Farid lihat adegan depan mata!
Tak sempat Farid nak halang, Ashikin berlari keluar. Tak cukup tanah lagak langkahnya. Kain satin berlabuci putih diangkat separas lutut. Senang nak cabut lari. Keadaan yang mula kecoh, makin kecoh. Farid turut bangun. Lari sama! Ashikin dikejar. Tapi bekas juara trek waktu sekolah itu memecut lebih dari dia!
Sengal duh! Hari nikah aku ni! Apahal pulak dia lari?!
“Shikin, tunggu!” Farid dah jerit sekuat hati. Tak sempat nak sarung selipar. Larian Ashikin macam peluru. Bersama lelaki yang tak pernah Farid kenal pun! Mereka melompat masuk. Dalam kereta yang dah sedia menunggu di luar masjid.
“Sorry, Farid!” Ashikin turut menjerit. Proton Perdana memecut. Meninggalkan kawasan masjid. Termangu Farid. Fikirannya kosong. Tak tahu nak fikir apa dah!
Asyikin lari! Farid tak pernah paksa Ashikin nikah dengan dia. Perempuan ni dah kenapa?!
Perkarangan masjid jadi kecoh. Pihak pengantin lelaki dan perempuan turut terpinga-pinga.Melihat adegan yang tak disangka. Ini kes pertama!Berlaku depan mata Imam Shuib. Tak pernah jadi pun sebelum ni! Imam Shuib tepuk dahi. Sudah! Pengantin perempuan lari!
“Sorry, Farid!”
Selari suara terngiang, Farid lontar tubuh atas sofa. Kaki ditendang tuju ke angin. Sesedap rasa punya ayat! Sorry naik bas minilah, bodoh! Farid genggam penumbuk. Dapat Ashikin. Dapat jantan tak guna tu. Nantilah. Dilibasnya sedas dua. Baru puas hati!
“Hmm... cerita ni pun. Tak ada lain ke? Pengantin perempuan lari.”
Farid kerling Fuad. Mata Fuad masih ke arah skrin televisyen. Eh! Budak sorang ni. Tak faham ke aku sensitif. Perkataan lari tak patut ada dah dalam kamus hidup!
“Alaaa... dah dua bulan pun perempuan tu lari. Cari perempuan lain ajelah...”
Farid mendengus. Tak prihatian sungguh adik aku sorang ni. Sekali lagi Fuad sebut lari, sah diluku kepala Fuad. Geram dah simpan lama dalam hati. Tak dapat nak luah je. Game karate, tumbuk, belasah, boxing, tembak-tembak dalam Nokia Lumia entah berapa kali dia dah khatam. Semua dia hentam. Dapat top score lagi.
Marah punya pasal. Tak pergi kerja pun satu hal. Jadi faktor dia ketagih game.
Nak belasah orang, ayah awal-awal dah bagi amaran. Dah tak ada jodoh! Cakap memanglah senang. Nak menanggung dia. Seksanya dia. Gelaran bakal suami tak jadi pun dia dapat percuma aje! Farid serkup hoodie ke kepala. Duduk dalam rumah pun rasa tak tenang. Macam ada orang perhati. Nak ejek. Nak gelak-gelakkan dia.
“Kau memang tak nak pergi kerja ke, angah?” Fuad jeling Farid. Mamat sorang ni. Kecewanya tak boleh nak cerita dah.
“Tak nak aku.” Farid capai remote control. Ditukar siaran. Drama kahwin paksa. Tukar lagi. Cerita tertukar anak pulak. Tukar lagi sekali. Aduhai... tepat-tepat adegan Juwita Robert lari. Pakai gaun pengantin pulak tu! Siap sarung sneakers kat kaki. Aduhai...
Fuad sengih. Nak tergelak pun ada. Apa-apalah abang aku sorang ni. Bohonglah kalau dia tak kesiankan Farid. Dah dua bulan abangnya makan hati bukan setakat ulam jantung. Ulam limpa dengan usus. Sekali pakej!
“Aku nak berhenti.” Farid hela nafas. Nekad dah dia.
“Berhenti? Dah tu kau nak kerja apa?” Bidas Fuad. Keputusan Farid sah-sah dia tak terima.
“Tak kerja pun aku boleh hidup.” Jawab Farid bersahaja.
Fuad betulkan duduk. Muka Farid direnung. Uik! Senangnya jawapan. Siapa nak tanggung hidup kau? Ayah? Macam tu? Mahu saja Fuad luahkan tapi dalam hati ajelah. Farid bangun. Remote control dilempar atas sofa. Kaki diatur ke laman banglo. Sesak terasa nafas.
Farid mendongak. Melihat langit cerah. Dia pun tak ingat. Dah berapa hari agaknya dia tak keluar. Farid betulkan hoodie di kepala. Apahal dia patut takut? Bukannya dia buat salah pun. Tapi entah kenapa. Semua pandangan mata terasa mengejek. Digagahkan diri. Meninggalkan kawasan banglo.
Farid jalan tunduk entah berapa darjah. Kalau orang tak kenal, mahunya cop dia mat gian. Penagih tak dapat stok. Mahu taknya. Tertunduk-tunduk. Serupa orang buat salah!
“Bakal suami tak jadi!”
Langkah Farid terhenti. Sudah! Mulut tak ada insurans sungguh! Siapa tu?
“Hello... bakal suami tak jadikan?” Soalan berselang dengan tawa. Farid tahan rasa geram. Minah mana pulak panggil-panggil aku ni? Nak kena lempang gamaknya. Farid menoleh. Hampir mulutnya menyumpah.
Di depan Farid. Seorang perempuan tersengih. Muka nampak tak bersalah langsung!
“Kau nak kena lempang ke? Apahal?” Jegil Farid tak mahu kalah. Sesedap masak lemak cili padi mak tiri aku. Mulut nak kena tenyeh lada sungguh minah sorang ni.
“Uik? Marah?” Kekeh perempuan bertudung bawal biru muda.
Terbeliak mata Farid. Anak sapalah ni. Gaya berpakaian nampak bagus sangat dah. Tapi perangai. Selisih! Dah serupa samseng Farid menengoknya.
“Kau ingat banglo kau tu menara? Tak ada pintu? Dah macam Rapunzel aku tengok kau ni. Tak reti nak keluar rumah ke apa?” Lengan panjang t-shirt disingsing paras siku. Farid direnung atas bawah.
“Eh! Kau ni apahal? Siapa kau nak tanya-tanya aku. Suka hati akulah. Kau apa susah?” Balas Farid. Jangan harap dia nak mengalah. Mengadap perempuan entah mana datangnya. Tak ada salam. Tak ada budi bahasa. Mulut busuk betul minah ni. Berani ejek-ejek aku!
“Hmm... mamat kiciwa macam kau ni memang berangin ajelah...” Sengih perempuan yang Farid langsung tak tahu nama.
Farid geleng kepala. Aduhai... sakit otak rupanya minah ni. Tersengih tak sudah-sudah dari tadi. Farid atur langkah. Malas nak layan dah! Sangka Farid perempuan tu nak blah aje. Tak diduga diekorinya Farid. Bila Farid berhenti, dia berhenti. Farid langkah setapak, dia pun langkah setapak. Farid saja lompat-lompat. Dia pun lompat juga!
“Oi! Blahlah!” Farid hilang sabar. Memang dilempang juga perempuan ni nanti.
“Rilekslah, bro. Tempat awam ni. Bukannya ada tulis nama kau pun. Ada? Ada?” Mukanya saja disua-suakan ke arah Farid.
“Memanglah tempat awam tapi kau tu mengganggu ketenteraman. Kau ikut aku lagi, aku heret kau pergi balai.” Farid mengugut. Saja-saja. Harap-haraplah perempuan ni takut.
“Okey jugak.”
Farid mencerun mata. Amboi! Berani sungguh menjawab!

**sambungan bab 1**

“Aku karate! Karate! Karate!!” Minah henyak bantal. Bukan sekali. Bertubi-tubi. Smackdown punya tak ingat. Segala jurus silat turut keluar. Minah tendang bantal sekuat hati. Tercampak. Mendarat di dinding. “Wachaaaa!!!” Kali ni, gaya Bruce Lee gamaknya.
“Adoi la. Apahal kau ni?” Kembar Minah, Akbar tergelak. Perempuan ni bukannya boleh dilayan. Emo semacam!
“Aku jumpa mamat tu. Muka ni. Muka aku ni. Dia simbah air kopi...” Minah melutut. Ala-ala gaya penyanyi rock nyanyi lagu frust. Melutut tak ingat! “Punyalah bangang. Aku jumpa sekali lagi, aku lempang. Berdas-das. Sampai puas.”
“Berani juga bakal suami tak jadi tu.”
“Apa kau cakap?” Minah beliakkan biji mata.
“Taklah.. maksud aku...”
“Kau tak sayang mulut ya, Akbar? Bakal-bakal kau jangan main sebut aje heh? Sensitif tau tak?” Bidas Minah.
“Tulah kau. Aku dah cakap. Bincang elok-elok. Kau mesti serang diakan? Manalah dia tak angin.” Akbar kerling Minah.
“Dia tu emo.”
“Sama macam kau.”
“Eh! Kau jangan nak samakan aku dengan mamat tu. Aku dengan dia, macam kayu balak dengan ranting pokok. Bumi dengan angkasa. Bukan setakat langit selapis. Berlapis-lapis. Mana ada sama.” Minah besarkan mata. Akbar ni pun memang nak kena!
“Handsome tak?”
“Siapa?”
“Azhan Farid.”
“Kau ni dah kenapa? Suka dengan dia?”
“Choiii! Selisih!” Akbar tertawa. Gila!
“Manalah tahu. Tukar selera.”
“Mengarut. Cuba bila bercakap tu fikir panjang sikit. Ini tak. Kontot. Mananya kau tak dijamu dek air kopi.” Akbar geleng kepala.
Minah cebik bibir. Kontot ke. Panjang ke. Dia tak peduli!
“Kau tu apa beza. Bakal isteri tak jadi juga.” Akbar sengaja tambah bara. Minah jeling Akbar. Sepantas kilat. Bahu Akbar dirangkul. Headlock punya gaya dia bagi sedas. Akbar meronta. Minah tak bagi peluang!
Akbar tak nak kalah. Ditarik tangan Minah. Dikilas ke belakang. Hampir tersungkur Minah atas tilam. Akbar tertawa. Dia dah lali dengan headlock Minah. Aku pun tahu karatelah!
“Huh! Membela kaum dia. Sakit hati sungguh!” Minah kerling Akbar. Tawa adik kembarnya cukup menyakitkan hati. Minah pantas melangkah. Akbar pura-pura sambung ketawa. Dia bukannya tak kesian dengan Aina Aminah. Tapi emosi kakak kembarnya tak tentu hala.
Minah ke dapur. Duduk dalam bilik Akbar pun tak guna. Hangat! Nak luah perasaan pun tak boleh. Dasar lelaki! Bela kaum sendiri! Huh! Aku ni kakak dia. Patutnya dipujuk aku. Ini tak. Lagi mahu panaskan keadaan.
“Kamu ni dah kenapa Minah? Termuncung-muncung mulut kamu. Dah serupa ikan koi mama tengok.” Suara mama. Singgah di cuping telinga.
“Alaaa mama. Macamlah tak biasa. Minah muncung sikit aje. Mulalah mama cakap macam ikan koi, ikan emas, ikan haruan, macam-macam jenis ikanlah.” Bukannya Minah tak tahu. Mama memang suka usik dia. Tawa kecil mama dibalas senyum sinis. Sukalah tu...
Puan Aza geleng kepala. Minah kalau diusik, ada saja nak menjawab. Sebulan dua ni lagilah tak boleh nak dibawa gurau. Sensitif memanjang. Side effect kena tinggal gamaknya. Twenty four seven memang sensitif!
“Kamu nak air kopi? Mama buatkan.”
Tersedak liur Minah. Air kopi?! Tak ada air lain ke? Huh! Entah kenapa telinga Minah mula rasa berasap. Apa nak jadi dengan dia ni. Dengar kopi nak marah. Dengar orang sebut bakal pun tak boleh. Apatah lagi nak sebut lari. Memang berangin dia dibuatnya.
Minah bangun. Kabinet dapur dibuka. Puan Aza pandang Minah. Sejak bila Minah rajin nak buat air sendiri? Selalunya dia yang buatkan. Puan Aza senyum. Minah capai botol kaca berisi serbuk kopi. Minah tak semena-mena lari. Dibawa sekali botol serbuk kopi! Senyum Puan Aza berubah jadi curiga.
“Minah!” Terjerit Puan Aza. Tergesa-gesa dia ikut Minah. “Minah! Pulangkan serbuk kopi tu!” Jerkah Puan Aza. Ish budak ni! Memang nak kena dengan aku!
“Tak nak!”
Puan Aza singsing lengan baju. Akbar yang baru turun dari tingkat atas mencerun mata. Lihat mama tergesa-gesa keluar. Apahal pulak ni? Akbar ikut sama. Di laman banglo, Minah dah berdiri depan kolam ikan koi mama. Akbar tengok mama dah berubah riak muka. Dan tika itu bebola mata Akbar terarah pada botol serbuk kopi di tangan Minah.
Hoi ai! Kopi favourite papa tu! Kawan papa bawa balik dari Brazil!
“Minah! Pulangkan balik! Mengamuk papa kamu nanti.”
“Tak nak!” Sudah! Jawapan Minah konsisten. Kalau dia kata tak nak, maknanya memang taklah!
“Bagi balik. Kena kamu ni nanti.” Puan Aza ketap bibir. Lengan baju makin tinggi ditarik. Berangin sungguh menengok Minah. Serbuk kopi pun nak jadi mangsa.
“Dah dahlah tu cik kak oi. Sampai bila nak meroyan ni? Dah serupa perempuan tak cukup akal aku tengok kau ni.” Akbar terkekeh ketawa. “Serbuk kopi banyak. Aku belikan yang lain. Yang tu bagi pada mama. Aku belikan selori kopi.”
“Eh, Akbar! Mulut kau tu memang tak ada insuranskan? Kau nak pujuk aku ke nak tambah baran aku ni?” Minah mula terasa Akbar tu kecik aje. Ikutkan sakit hati, mahu dibaling botol kopi ke kepala kembarnya tu.
“Aku nak tolong kaulah. Setakat sebotol mana ada kesan. Aku belikan satu treler. Satu kapal. Satu...”
“Minah!”
Terhenti Akbar nak terus menyindir. Masing-masing menoleh. Dari banglo sebelah, kelihatan Sara. Anak jiran. Tunang Akbar. Kawan sekelas Minah waktu sekolah. Sara tersengih-sengih. Tembok batu pun tak heran nak dipanjatnya.
Menggeleng kepala Puan Aza. Ni sorang lagi. Entah apalah yang Akbar berkenan sangat. Bab panjat-memanjat. Serah aje pada Sara. Memang hebat! Spiderman pun kalah! Berlari-lari Akbar dapatkan Sara. Bila terpandangkan muka mama yang nampak lain macam dah.
“Sayang. Dah berapa kali saya cakap? Jangan panjat tembok ni.” Akbar pandang Sara. Aduhai. Nasib baiklah aku suka. Kalau tak, mahunya aku tolak jatuh ke bawah.
“Bukannya tinggi pun.” Sara tambah senyum. Muka Minah mencuka. Kacau daun betullah! Aku baru nak tunjuk perasaan. Perempuan ni muncul pulak! “Eh! Kau buat apa tu, Minah? Geram dengan kopi ye?” Sara angkat-angkat kening.
“Suka hati akulah. Nak geram ke. Nak suka ke?”
“Amboi! Cantik bahasa.”
Minah cerun mata. Bahasa aku aje dia ingat. Bahasa dia? Bagus sangat?!
“Alang-alang aku dah panjat tembok, ada hal aku nak beritahu kau ni.”
Minah jeling Sara. Eleh! Macamlah aku heran. Nasib baik tunang Akbar. Kalau tak dah lama perempuan ni aku buat tukun dalam laut. Boleh blahlah! Macamlah best sangat hal dia tu!
“Minah, glamer kau sekarang ni.”
Minah pandang Sara. Glamer?
“Twitter... Simbah air kopi kaw-kaw punye...” Sara buat muka gedik. Siap dengan gaya. Melopong mulut Minah. Twitter?


“Mak....!!” Terlepas botol kopi di tangan Minah. Puan Aza terjerit sama. Botol kopi jadi perenang tak terlatih. Tenggelam. Dalam kolam ikan koi! Masak! Kopi favourite suami aku tu...

No comments:

Post a Comment