MY SWEET ROCKERS ~ HAYATI AHMAD BAB 2 PART 1 n 2

cover belum final
RM35SM /RM 38SS
TERMASUK POSTAGE
Bab 2-part 1
JIKA ada lagi kesilapan, Kamarul merasakan inilah kesilapan yang lebih besar dari silap! Ia bukan hal kecil. Bukan keputusan yang acah-acah suci ikhlas. Tapi ini adalah masa depannya.
Kamarul pandang wajah Orked. Orked pandang Kamarul. Ada genangan jernih di mata gadis itu. Allahurabbi! Tiba-tiba Kamarul dihempap oleh berlori-lori penyesalan. Sumpah dia menyesal. Dia melihat sumpah seranah di mata Orked. Dan dia juga melihat penumbuk Jepun yang diacah-acah oleh perempuan itu.

Terketar-ketar Kamarul menyarungkan cincin batal wuduk ke jari Orked. ‘Batal wuduk kemender! Wuduk pun aku tak ambil!’ Kamarul istiqomah dalam kepura-puraannya. Tangan Orked sejuk macam batu nisan. Tangan dia pula entahlah… tiba-tiba Kamarul rasa kebas. Semua mata memandang ke arahnya. Rasanya dalam Malaysia ini, dialah pengantin lelaki tunggal yang diakad nikah hanya dengan berjeans dan t’shirt! Rock betullah!
Teragak-agak Orked hendak menyalami Kamarul.
“Ciumlah tangan suami tu.”
Mak Cik Bidah memberikan arahan yang Kamarul pasti bukan untuknya. Kamarul menoleh sejenak ke arahnya. Mak Cik Bidah tersenyum lebar. Pak Cik Musa juga ikut senyum. Wajahnya kedua-duanya menjadi manis macam kurma Yusuf Tayyob. Mak dan abah pula memandang Kamarul dengan renungan yang paling suci. Kamarul telan air liur. Sekali lagi renungan mak dan abah menewaskan hati lelakinya. Renungan tanda terima kasih yang tidak terhingga kerana menyelamatkan maruah mereka.
Sedebuk air mata lelaki Kamarul gugur. Gugur kerana tidak sanggup membayangkan keterunaannya akan diragut oleh si katik Orked.
Bab 2-part 2
Tiba-tiba Orked menghulurkan tangannya… ah, sudah! Kamarul gelabah katak! Cepat-cepat Kamarul tarik kembali tangan sebaik sahaja pucuk hidung Orked menyentuh tangannya.
‘Harap-harap, petang tadi aku cebok dengan bersih selepas ke tandas. Kalau tidak…! Nasiblah kau Orked…’ Kamarul cukup pasti, tangannya pasti ada bau. Kalaupun bukan bau tandas pasti ada bau rokok. Kalau bukan bau rokok, pasti ada bau petrol atau bau minyak pelincir! Kalau ada ketiga-tiganya sekali, pasti Orked pengsan.
Tup, Orked tumbang! Dia benar-benar rebah. Kamarul segera mencium tangannya. Rasanya taklah teruk sangatpun bau tangannya itu!
“Ehhh, cepat angkat cepat!”
Satu suara memberikan arahan tidak formal. Cemas! Kamarul angguk spontan. Tiba-tiba Kamarul acah acah gagah menunaikan tanggungjawab pertamanya. Dia segera mencempung Orked. Mengangkat Orked yang pengsan ke katil, dan ia berlaku di khalayak ramai. Bukti jelas, Kamarul memang anak lelaki encik Jamal yang bertanggungjawab!
‘Syabas bete’ getus Encik Jamal!

No comments:

Post a Comment