COMING SOON >> MY SWEET ROCKERS BAB 1 PART 2

COMING SOON >> MY SWEET ROCKERS BAB 1 PART 2
AKAD nikah masih belum dapat dijalankan. Kamarul melihat jam G-Shock tiruannya. Dia tersenyum. Jam itu hadiah dari Safiah. Biarlah tiruan sekalipun, ia tetap menjadi aset yang cukup manis buatnya. Kamarul faham, Safiah hanya bekerja sebagai pembantu tadika sahaja, mana mungkin hendak membelikan dia hadiah yang mahal-mahal. Lagipun, Safiah seorang yang sangat bergaya. Justeru lebih banyak wangnya diperuntukkan untuk membeli keperluan dirinya. Itu pengakuan Safiah sendiri.
Pap! Dia menampar lagi. Kali ini mungkin nyamuk yang ke dua ratus empat belas. Dia sudah puas menghidangkan tubuhnya untuk santapan nyamuk. Kalau tidak kerana ada gambar Safiah di telefon genggamnya untuk dijadikan tatapan, sudah lama Kamarul sudah berguling minta nak balik cepat.
“Sudah hampir pukul 11 malam ni! Haihh, panas pula hati aku! Abang long ni nak kahwin ke tak nak ni?”
Kamarul merungut-rungut sendirian. Rokok seludup berwarna putih itu disedutnya lagi. Bara merah di puntungnya jelas menyala terang. Satu dengusan lemah dilepaskannya, lalu Kamarul kembali memerhatikan rumah itu tanpa perasaan. Kamarul terbatuk-batuk kecil. Menyesal pula dia menghisap rokok yang ditinggalkan oleh Bob dalam keretanya. Puntung yang baru sekali di sedut itu dicampak ke tanah lalu ditenyeh dengan hujung kasutnya. ‘Sudahlah tidak ori, tak sedap pulak tu.’ Rungutnya.
Puih! Kamarul meludah. Jika dia sendiri yang duduk di luar gelisah, apatah lagi yang sedang menunggu di dalam. Dia menghayunkan langkah berat menuju ke rumah pak cik Musa. Namun belum pun sempat dia masuk, telinganya terlebih dahulu menangkap kata-kata lemah dari bapanya.
“Macam nilah Tok, kalau lagi setengah jam pengantin lelaki tak sampai lagi kita batalkan saja perkahwinan ni.”
Kamarul mengerutkan wajah. ‘Batal?’ desisnya. Kamarul sempat menangkap pandangan ke arah bapanya. Jelas kelihatan lelaki itu tenggelam punca untuk menghubungi Idham anaknya. Dadanya sudah cukup sendat dengan macam-macam rasa. Malu,sakit hati, geram dan cuak bertalu-talu menghentam hatinya. Kamarul cukup faham. Kalau dia pun jadi abah memang akan diseliginya kepala abang long ke dinding!
“Senang awak nak bercakap. Anak awak lelaki, anak kami perempuan. Apa awak ingat anak kami ni ayam yang awak boleh beli pakai timbang kilo?” Mak Cik Zabidah sudah mula naik angin. Kamarul mula kecut perut melihat baran wanita bekas guru besar sekolah rendah itu. Sebiji seperti watak Ibu Mertuaku!
Tapi marah Mak Cik Bedah tu ada juga asasnya, apakah semudah itu bapa bakal pengantin lelaki membuat keputusan. Maruah anaknya sudah menjadi bahan senda-gurau. Soal nikah kahwin ni bukan hal kecil yang boleh buat main-main.Tiba-tiba Kamarul jadi team Mak cik Bedah!
“Habis kami nak buat macam mana Cik Zabidah? Dah puas kami hubungi si Idham ni tapi langsung tak dijawabnya. Kami pun dah tak tahu nak buat apa.”
Encik Jamal menjelaskan dengan suara yang kendur. Kamarul tahu abahnya tidak mahu mengeruhkan suasana. Bukan sebab abahnya takut akan Mak Cik Zabidah itu. Kalau soal hendak beradu tenaga, rasanyanya senang-senang encik Jamal itu menewaskan Mak Cik Zabidah yang gemuk pendek itu. Tapi beradu kekuatan takkan menyelesaikan apa-apa.
‘Hmmm, macam tu lah agaknya rupa Orked bila tua nanti. Buruk betul!’ Kamarul sempat membayangkan Orked, musuh ketatnya itu.
Mak Kamarul semakin gelisah melihat bakal besannya suami isteri mula tunjuk angin kus-kus masing-masing. Seorang askar pencen, seorang lagi guru besar pencen! Sikap masing-masing sudah macam ayam pencen, liat hendak faham erti tolak ansur!
Kamarul pula hanya mampu mendengar dari jauh. Kalau perlu senjata, dia sedia untuk mengambilkan parang dari booth kereta abah. Manalah tahu kalau jadi pula pergaduhan besar kelak. Nampaknya ketengangan sudah sukar dielakkan.
‘Mak aku itupun boleh tahan juga. Memang penyabar sungguhlah. Dah kena marah dek bakal besanpun, senyumnya tak putus dari tadi. Kasihan aku melihat senyum kelat mak. Tentu seksa kalau terpaksa senyum dalam paksaan...’
Kamarul menghela nafas panjang. Simpatinya kepada emaknya melimpah ruah. Sudahlah kena tipu oleh anak sendiri, kena marah pula oleh bakal besan.
‘Kasihan mak. Kasihan jugak kau Orked, segarang-garang kau dengan aku dulu, kena tipu jugak dengan abang aku!’ Kamarul segera beredar. Dia kembali mengambil rokok tinggalan Bob dalam keretanya. Rokok dinyalakan lalu dia bersandar di sebatang pokok bacang yang agak jauh dari rumah Orked.
“KAMARUL!”
Puih hampir terlepas rokok dari bibirnya. Terkejut Kamarul bila tiba-tiba namanya kena seru. Sudahlah dia berdiri di bawah sebatang pokok yang amat besar. Terpencil pula tu!
Abahnya berdiri di satu sudut. Dalam gelap dia melihat abah melangkah penuh macho ke arahnya. Rokoknya segera dijatuhkan ke tanah lalu dilenyek dengan kasut. Kalau esok Bob tuntut rokok dia, tinggal kenangan sajalah. Lagipun memang tinggal dua batang sahaja. Kedua-duanya sudah dibakar oleh Kamarul.
“Kenapa bah, bang long dah nak sampai ke?”
Abah tidak menjawab. Sebaliknya semakin menghampiri Kamarul.
“Arul buat apa dalam gelap ni?”
“Tak de apa bah, habiskan rokok je. Dah dapat call abang long ke?”
Kamarul pula menyoal abah. Sebenarnya dia juga sudah jemu menunggu.
“Ada rokok lagi?” Soal abah. Kamarul geleng.
“Sejak bila abah merokok?”
“Kau pulak, sejak bila merokok?”
Mereka sama-sama ketawa. Rokok si Bob tertinggal dalam kereta orang bah. Abah dah dapat call bang long ke?”
Abah menggeleng perlahan. Satu helaan berat dilepaskannya.
“Arul tolong abah ye.”
Nada suara abah kedengaran agak berlainan. Kamarul tersenyum sambil mengangguk. Sekejap lagi pasti abang long akan sampai, fikirnya.
“Tak de hal bah, orang boleh je bawak keter. Orang tahu abah letih. Balik ni orang drive, abah relax je tidur.”
Kamarul menawarkan diri dengan ikhlas. Memang dia kasihan betul tengok abah sekarang ni. Betul-betul sugul macam muka orang kalah judi!
Tiba-tiba abah menarik tangan Kamarul. Abah tunduk tidak memandang Kamarul. Ibu jari Kamarul digentel-gentelnya. Jelas sekali abah teragak-agak untuk meluahkan kata-katanya.
“Nikah dengan Orked ye!” Kamarul terdiam sejenak. Dia cuba menghadamkan soalan itu di mindanya. Krik… krik… krik… suasana menjadi senyap. Kamarul tidak memberikan sebarang jawapan.
“Rul, abah cakap dengan kamu ni. Nikah dengan Orked ye?” Abah tidak teragak-agak lagi mengulangi permintaannya. Dan bagi Kamarul, tiba-tiba dia seolah-olah terdengar dentuman dari langit.
“AApa bah?”
“Nikah.” Abah menuturkannya dengan jelas.
“Nikah dengan siapa bah?”
Abah mengeleng-ngeleng lemah. Dia tahu Kamarul faham, dia juga tahu Kamarul hampir pitam. Tapi muka dia sendiri sudah hampir lebam kerana malu kepada orang kampung. Malu kepada bakal besannya. Dan lebih penting lagi malu kepada Allah setelah anak lelakinya memungkiri janji untuk menikahi gadis yang bernama Orked itu!
Lelaki sejati takkan memungkiri janji! Itu pegangan Jamal. Jadi, jika bukan Idham, Kamarul harus menggalas tanggungjawab itu. Kamarul harus jadi hero yang menyelamatkan maruah kedua-dua belah pihak!
Dan tiba-tiba sahaja Kamarul terdengar-dengar dendangan lagu Pelamin Angan Ku Musnah! Dan ia didendangkan cukup syahdu di telinga Kamarul seolah-olah satu bisikan yang berupa igauan ngeri buat lelaki tersebut.
“Nikah dengan Orked, abang long takkan balik malam ni…”
Abah mengulangi kata-katanya. Dan kali ini cukup jelas untuk difahami oleh batu jemala Kamarul.
Berdesup darah Kamarul naik ke kepala! Apakah dia tidak silap dengar?
“Apa bah?” Kamarul mohon kepastian biarpun kakinya tetap mengikut arah tarikan abah.
“Nikah dengan Orked Karmila.” Abah mengulangi kata-katanya. Kali ini Kamarul yakin dia tidak salah dengar. Tapi entah kenapa tiba-tiba jantungnya jadi outmeter! Kamarul terasa hentakan-hentakan keras sedang menerjah dadanya. Sangat keras dan padu!
“Abah!” Kamarul mengeraskan tubuhnya. Kakinya terhenti melangkah. Namun kerasnya tidak berapa keras, sebab dia menghormati abah. Tapi Kamarul pasti mati keras selepas ini. Kamarul… Orked… dan abang long! Ahhh, sudah!
“Arul sayang abah dan mak kan? Bukan selalu, dan bukan juga ada permintaan ulangan. Kali ini saja Rul. Demi maruah kita, maruah Orked dan keluarganya… Arul nikah dengan bakal menantu abah ye nak.”
Luluh hati Kamarul mendengar rayuan abah. Tapi bagaimana pula dengan kehidupannya. Mana ada kes kahwin paksa lagi sekarang ni!! Apatah lagi kes paksa ke atas lelaki semacho dia! Dan perempuan itu Orked? ‘Ya Allah, ini benar-benar kejadian atau cobaan? Abang long ni pun satu hal, kalau tak nak kahwinpun bagi tahulah awal-awal, jangan jadikan aku pak sanggup!
“Orked tu tak naknya kat orang bah.” Kamarul memberi komentar ringkas. Namun hakikat sebenarnya dia sedang membuat penafian! Lain difikir lain pulalah yang keluar dari mulutnya.
“Kenapa pula tak nak?”
“Ialah, orang bukan macam abang long!”
Sejujurnya Kamarul sedar, dia cuma kutu berahak lepasan UITM yang mempunyai hobi motor, motor dan motor! Kerjanya pun masih tunggang langgang di kedai pomen kereta abah, macam mana nak tanggung anak orang?
Namun jauh dalam hatinya,‘Aku takkan, mustahil, tidak mungkin malah dalam mimpi pun aku takkan menikahinya!’ Kamarul membulatkan tekad di dalam hatinya.
“Kamarul…!” Tiba-tiba dia tersedar bila abah menyergahnya.
“Iya bah, orang setuju!”
‘Chilaker punya mulut!’ Kamarul menyumpah dirinya sendiri. Semudah itu dia memberikan kata putus? Abah tersenyum, kali ini senyumannya cukup manis. Kamarul terkedu. Tapi kata orang terlajak perahu boleh diundur, terlajak masuk one way memang susah nak uturn!
“TTatapi ada syaratnya bah. Orang tak…”
Kamarul tergagap-gagap cuba mencari helah.
“Syarat apa nak?, cakaplah. Apa pun abah setuju asal Arul kahwin dengan Orked.”
Abah tanya dengan wajah ceria. Timbul pula simpati Kamarul yang melimpah ruah bila melihat muka gembira abah. Jika abah gembira bermakna emak juga akan gembira. Tegakah Kamarul membunuh kegembiraan itu? Tak mungkin… Kamarul menafikan fikiran kejamnya itu.
Ah, muka kasihan abah sering memerangkap Kamarul dalam rasa serba salah, menyampah betul dia dengan perasaannya itu! Lembik dan tidak nampak ketegasannya. Sepatutnya Kamarul harus mempertahankan cinta dan jasadnya untuk Safiah. Safiah yang manis, dan Safiah yang menjadi buah hati pengarang limpa hempedunya. Safiah yang menjadi igauan Rafik, namun Safiah yang cantik itu telah memilih Kamarul sebagai kekasih.
“Orang belum pikir lagi syaratnya.” Kamarul menjawab ringkas. Sekali lagi Kamarul memaki dirinya. Mudah sangat cair dengan wajah kasihan abah. Lagipun, adalah ‘kerja gila’ untuk mengemukakan syarat itu kepada abah.
“Cakaplah apa saja syaratnya Rul, abah setuju. Berat manapun abah setuju, asalkan Arul kahwin dengan Orked.”
Nampaknya abah sanggup menerima apa sahaja syaratnya. Kali ini Kamarul tewas, dia melangkah seperti hero yang baru lepas kena belasah. Lemau dan tidak bersemangat. Tidak sanggup rasanya melihat abah kecewa, sebab kecewa abah, bermakna kecewa jugalah emak. Biarlah Kamarul sendiri yang kecewa… andai itu takdir-Nya.
‘Apa pula syarat yang akanku berikan. Takkan aku hendak bagi syarat yang sama seperti Puteri Gunung Ledang? Jenuhlah si Orked kena menangis sampai cukup tujuh cawan air mata anak dara. Silap-silap dara sampai ke tualah dia. Huh! Itupun kalau sempat sampai tujuh cawan. Aku rasa jangankan tujuh cawan, tujuh camca teh pun belum tentu Orked sanggup menangis untuk aku!’ Otak Kamarul ligat mencari idea untuk berhelah dan mengelakkan pernikahannya. Tapi ia agak mustahil dalam waktu yang terdesak ini.
Langkah mereka semakin hampir.
‘Arghhh, ini tak boleh jadi.’ Perang dalaman Kamarul semakin memuncak.
Abah menarik tangannya untuk duduk bersila di hadapan tok kadi. Lelaki berkopiah putih itu mendongak memandang memandang Kamarul. Bukan tok kadi sahaja, semua mata terpaku kepada susuk pemuda bernama Kamarul Lail itu.
“Jadi ini pengantin lelakinya?” Tok Kadi memandang tepat ke arah Kamarul.
“Iya tok!” Empat suara berpadu serentak. Abah, mak, Mak Cik Zabidah dan Pak Cik Musa bagaikan sedang membuat coral speaking! Nampaknya Kamarul sudah pasti bakal bermertuakan askar pencen dan guru besar pencen yang garang. Perlahan-lahan wajah Safiah retak seribu…
KAMARUL duduk di atas alas empat segi yang gebu berenda cantik itu. Namun entah kenapa, kegebuan alas itu langsung tidak dapat mengurangkan rasa berduri di bawah punggungnya. Bertalu-talu rasa gemuruh itu menyerangnya. Dan berasak-asak juga air liur cuba menerombos kerongkongnya. Kamarul terasa seakan urat marihnya hampir putus!
Tok kadi segera membuka begnya. Beberapa borang segera di keluarkan, kad pengenalan Kamarul juga di minta…. ‘habislah aku!’ jerit Kamarul di dalam hati.
“Kamarul Lail bin Jamal…”
“Saya!”
“Aku nikah akan dikau…”
12 kali cubaan, akhirnya…
“Sah!!!” empat suara berpadu serentak!

No comments:

Post a Comment