RM35sm/RM38ss
termasuk pos
🍀Teaser Cik Hanim Janda Berhias🍀
“KAU buat apa pada Zarul sampai dia mengamuk marahkan aku dengan emak aku semalam?” Kak Long Zarul menarik lengan aku dengan kasar ketika aku sedang leka memantau pekerja stor mengira stok baju yang baru sampai.
“Apa kecoh-kecoh ni Asmah? Tak nampak Hanim tengah buat kerja tu? Kau tak ada kerja nak buat ke?” Abang Roslan pengurus bahagian jualan menegur Kak Long Zarul yang tiba-tiba datang menyerang aku.
“Kau jangan menyibuk ya, sotong. Aku tak kacau engkau pun, ek.” Marah Kak Long sambil bercekak pinggang.
“Aku ke engkau yang menyibuk dekat sini? Engkau kacau staf aku, mestilah aku marah.” Lentik saja jari telunjuk Abang Roslan menari-nari di hadapan muka Kak Long yang sedang naik angin tu.
“Peduli apa aku!” Tengking Kak Long. Jari telunjuk Abang Lan dia tepis. Terus lengan aku dilelar dengan kasar. Ditarik ke pintu hingga kami keluar ke bahagian belakang stor itu.
“Hei, mak cik labu! Kau nak bawa ke mana Hanim tu?” Jerit Abang Lan dengan suara halus tapi nyaring itu.
Badan aku ditolak dengan kasar dan bahu aku ditekan kuat pada dinding. “Engkau dengar sini ya, perempuan. Jangan harap kau dapat kahwin dengan adik aku Zarul selagi aku masih belum kahwin. Jangan harap mak aku benarkan dia langkah bendul. Jangan nak bawa bala dalam keluarga aku. Nahas kau nanti!” Ugut Kak Long. Ganas betul mak cik labu ni.
“Kalau tak mahu keluarga Kak Long ditimpa bala, Kak Long kahwinlah cepat-cepat. Tak habis-habis dengan langkah bendul mak Kak Long tu. Kak Long pun bendul juga sebab percayakan perkara khurafat tu.” Amik kau. Kan aku dah bahasakan dia.
“Kurang ajar kau ni ya!” Tangannya yang cuba hendak menampar pipi aku, aku tepis dengan kasar. Dah lama aku bersabar dengan sikap dia. Kali ini aku akan lawan dia dengan berani. Cukup-cukuplah selama ini aku kena marah dan kena sindir oleh anak mak lampir ni.
Semenjak bekerja di Gedung Mehmood Khan yang menjual pakaian dan kain ela ini, tak habis-habis dia cari pasal dengan aku. Dia kata aku tak layak berkahwin dengan Zarul sebab aku hanya kerani cabuk saja di sini. Zarul sepatutnya cari gadis yang sama taraf dengan kedudukan dia. Aku cebikkan bibir. Malas nak layan orang yang senteng pemikirannya. Hello mak cik labu, aku penolong pengurus di sini ya. Bila kerja di gedung pakaian ni, kau nampak macam tak ada kelas ke? Tak sedar diri betul perempuan ni. Dia pun apa kurangnya, cuma promoter di bahagian pakaian kanak-kanak. Nak tunjuk lagak dengan aku pulak. Pigi da…
“Salah ke kalau saya kahwin dengan Zarul? Kalau Kak Long nak jadi anak dara tua, lantak Kak Longlah, tapi jangan ajak saya jadi geng Kak Long sekali.”
Aku dah mula hendak membahan dia. Lantaklah nak jadi apa pun kali ini. Nak ajak aku bertumbuk, aku okey aje. Dah lama aku simpan geram ni. Kalau dapat belasah anak mak lampir ni bagus juga.
“Kau ingat aku tak nak kahwin ke? Aku pun tak nak jadi anak dara tua. Aku pun ada hati nak kahwin jugalah bongok!” Jari telunjuk dia menunjal kepala aku. Ish, dia ni kang… ada juga yang patah jari tangan pagi ni aku kerjakan. Suka hati dia saja membongokkan aku. Sabor Hanim.
“Habis tu, kenapa Kak Long tolak pinangan Pak Kosnin tu? Dah elok-elok ada orang hendakkan Kak Long, tapi Kak Long tolak pulak. Jual mahal konon. Kalau tak, saya dengan Zarul dah boleh kahwin dah. Tak ada lagi timbul masalah langkah bendul ke, masalah kena timpa bala ke. Merepek sungguh!” Sembur aku geram.
“Pak Kosnin tua bangka tu? Sorry ek, tak sudi aku. Aku pun ada taste juga, nak lelaki yang muda dan bergaya. Lainlah kalau anak lelaki dia yang pinang aku. Ni bapak dia pulak yang gilakan aku. Apa kes aku nak terima duda tua tu? Sudahlah duda anak lima, rongak pulak gigi dia tu. Geli aku tahu tak.” Kak Long buat aksi geli-geleman.
Tak sedar diri punya perempuan, macamlah dia tu muda sangat. Umur dah masuk 36 tahun. Badan pun macam adik-beradik dengan tong drum, ada hati pulak tu hendak memilih laki. Sudah ada orang yang meminang dia, terima sajalah. Tak tahu nak bersyukur langsung. Meluat pulak aku tengok muka dia.
“Tua-tua dia pun, dia ada rumah besar. Ada kereta lagi. Rongak tu kan boleh dicover dengan gigi palsu.” Seboleh mungkin aku tahan ketawa aku daripada meledak. Mahu kena ligan aku kalau anak mak lampir ni dengar ketawa aku. Alangkah bagusnya kalau aku dapat lepaskan tawa aku sepuas-puas hati. Kalau itu yang berlaku, memang aku akan ketawakan mak cik labu ni terbahak-bahak macam orang gila.
“Kau ni kenapa ek? Kalau kau nak sangat dengan Pak Kosnin duda tua tu, kenapa tak engkau saja yang kahwin dengan dia?” Naik balik suara Kak Long. Bergegar badan dia bila tangan dia bergoyang-goyang dan cuba menarik pipi aku. Nasib baik aku sempat mengelak. Kalau tidak, mahu koyak kulit pipi aku kena tarik dengan jari dia yang pendek dan bulat-bulat tu.
“Pak Kosnin tu bukan hendakkan saya, tapi dia gilakan Kak Long. Lama dah dia simpan perasaan pada Kak Long sejak isteri dia meninggal dunia dulu. Kak Long tu aje yang tolak tuah.” Aku mengundurkan diri perlahan-lahan. Cuba mencari peluang hendak melarikan diri daripada Kak Long.
“Lagipun saya nak kahwin dengan Zarul, bukan dengan Pak Kosnin.” Aku sudah bersedia untuk melarikan diri.
“Jangan harap! Langkah mayat aku dulu.” Tengking Kak Long garang.
“Kalau macam tu, Kak Long matilah cepat-cepat, biar senang hidup saya dengan Zarul. Tak ada batu penghalang lagi. Tak ada bendul yang perlu kami langkah,” ucap aku dengana nada sinis.
Lepas aku sembur ayat itu, pantas sahaja aku melarikan diri daripada dia. Bukan dia larat pun nak kejar aku dengan badan dia yang gempal tu. Sebab tu Abang Lan panggil dia mak cik labu, sebab badan dia yang gempal dan gebu itu. Sesuka hati dia saja panggil Abang Lan ‘sotong’. Balasannya, gelaran mak cik labu yang dia dapat daripada Abang Roslan. Amik hang!
No comments:
Post a Comment