Bab 1 (Part 1)
JAM sudah 10.00 malam, Idham masih belum sampai. Semua orang gelisah, abah dan mak sudah seperti orang hilang punca. Wajah masing-masing kelat biarpun terus tersenyum. Nampak benar senyum paksa!
Kamarul mengira bintang di langit. Entah mana buruj biduk, yang mana buruj belantik. Namun yang pasti bintang kejora si Safiah sedang bersemayam dipuncak kuncup hatinya. Hanya satu… S.A.F.I.A.H si cantik manis tinggi lampai, sama macam dia. Safiah yang manis…, Safiah yang seksi…, Safiah yang punya bibir lekuk seperti Anjelina Jolie. Ah, indahnya kalau bisa dikucup, digigit pelan-pelan lalu…”
“Abang long tak callke Rul?” satu suara menyapanya. Namun Kamarul tidak menjawab sebaliknya terus tegun menatap langit malam. Lamunannya jauh merentas atmosfera bumi. Cukup jauh sehingga suara abah yang dekat itu pun tidak mampu menembusi gegendang telinganya.
“Abang long tak telefon kamu ke Kamarul!” Abah meninggikan sedikit suaranya. Lamunan Kamarul terpancung! Abah telah mematikan angan-angan separa lucahnya.
“Apa bah?” Belumpun memberikan jawapan, Kamarul pula menyoal kembali. Encik Jamal melepaskan nafas panjang. Serabut betul fikirannya melihat gelagat dua anak lelakinya. Seorang sedang angau hendak berkahwin, seorang lagi hilang di majlis pernikahan. Mujurlah anaknya cuma dua orang, kalau dua belas orang tak tahulah apa pula perangai mereka.
“Abang long kau tak telefon ke lagi?” Abah sudah tinggi suara. Kecut juga perut Kamarul.
“Belum bah. Orang dah banyak kali call, tapi dia tak jawab.”
Kamarul memberikan jawapan ringkas. Telefon Samsung S3 zaman Tok Janggut itu dikeluarkannya lagi dari kocek seluar. Jarinya ligat menekan nombor pada skrin telefon. Sebaik sahaja selesai mendail, cepat-cepat pula dia melekapkan telefon di telinga. Akhirnya dia menarik nafas panjang sambil menggeleng-geleng lemah memandang ke arah abahnya. Wajahnya menunjukkan riak putus asa. Sudah puas dia cuba menghubungi abang long. Namun tidak sekalipun panggilannya berjawab.
Wajah mak dan abahnya juga jelas cukup resah menunggu. Kamarul yang terjebak dalam insiden tersebut juga semakin resah. Memang benar, sudah berkali-kali dia mendail nombor telefon abang long, tapi nasibnya sama macam mak, penat saja yang dia dapat. Kosong satu enam… tekan-tekan jahanam! Untuk kesekian kalinya Kamarul terpaksa mendengar pesanan di telefonnya. Tanpa jemu suara lunak itu menerangkan…
“Maaf kredit anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan ini. Sila tambah kredit anda untuk membuat panggilan…” usai mendengar pesanan tersebut, cepat-cepat pula Kamarul menamatkan panggilannya. Dia menggeleng-geleng tanda tidak dapat menyambung panggilan kepada abang long walaupun dalam hatinya berkata ‘Harap-harap mak tak tahu telefon aku tak de kredit!’
Matanya sempat menjeling mak, jeling abah, dan menjeling semua yang ada di ruang tamu tersebut. Cukup jelas semuanya kelihatan gelisah. Rasa bersalah? Memanglah ada sedikit. Tapi hanya itulah cara yang ada untuk menunjukkan betapa Kamarul prihatin terhadap masalah yang sedang berlaku ketika ini. Tapi masalah dia sendiri dia kena simpan baik-baik. Masalah pertama, telefonnya tiada kredit. Masalah kedua, sepatutnya sekarang ini dia sedang datingdengan Safiah. Habislah kalau Safiah mengamuk gara-gara dia lambat sampai. Nak telefon, kredit pula tiada. Nak tunggu Safiah yang call dulu jangan harap. Telefon Safiah sendiri tidak pernah ada kredit kalau bukan dia yang top-upkan.
Mak dan abah menghela nafas panjang sebaik sahaja melihat gelengan Kamarul. Cukup akur bahawa anak bujang mereka itu sudah sehabis daya cuba menolong. Walhal tidak sedar tertipu oleh anak mereka sendiri.
Abah mengulang dail lagi. Tidak lama kemudian dia juga menggeleng-geleng, sama seperti Kamarul.
“Haihhhsyyy, ke manalah budak Idham ni, menyusahkan hati perut betul!” Rungut abah.
“Pengantin lelakinya tak sampai lagi ke?” keluarga di pihak pengantin perempuan bertanya sambil tersenyum kelat. Kamarul jeling Pak cik Musa dengan ekor mata. Hatinya sedikit geram melihat cara lelaki itu bercakap dengan abahnya. Agak kasar dan kelihatan angkuh!
‘Bodoh ke orang tua ni, takkanlah tak nampak. Pura-pura lagi bertanya. Saja hendak menambahkan lagi resah hati abah.’ Desis hati Kamarul geram. Terasa hendak dijegilnya lelaki itu. Namun…, mana mungkin! Pak cik Musa kan bakal besan abah!
“Kalau dalam masa 10 minit ni dia tak sampai lagi, kita batalkan saja majlis ni. Kau kena tanggung semua kerugian kami. Kau kena tanggung Jamal!” Pak cik Musa mengetap bibir menahan marah. Tangannya mengepal genggaman, silap hari bulan sesiapa sahaja yang silap cakap akan menerima hayunan penumbuk pak cik Musa.
‘Dia ingat baran dia saja yang dia tahu, baran orang lain dia tak kira!’ Kamarul menghamun lagi di dalam hatinya. Dalam hati bolehlah Kamarul acah-acah berani, cuba kalau berdepan…!
“On the waykatanya tadi. Ada masalah kereta sikit.”
Abah cuba memberikan alasan selogik yang mungkin, walhal dia sendiri buntu memikirkan tentang abang long. Kamarul? Dia lagilah tidak tahu hendak jawab apa.
Pelan-pelan Kamarul meminggir agak jauh ke bahagian pakir. Lebih baik dia tunggu di kereta daripada terpaksa berhadapan dengan muka ketat abah yang kena asak dengan pelbagai persoalan dari bakal besannya.
‘Pak Cik Musa… Pak Cik Musa, bilalah dia hendak berubah. Sama perangai macam anaknya si Orked. Hmmm…, bakal kakak ipar aku juga. Kakak ipar katik! Gelinya hati aku bila mengenangkan jodoh katik kau abang long.’ Kamarul mengutuk pengantin perempuan di dalam hati. ‘Manalah abang long boleh tersangkut kat si katik tu?’ getus hati Kamarul lagi sambil menyelak rambutnya yang separas bahu itu ke belakang.
“Kenapa tak datang sekali dengan pengantinnya. Dulu kemudian macam nilah yang selalu buat orang susah. Bertungu-tunggu.” Sayup-sayup kedengaran suara pak cik Musa merungut.
Jemputan mula berbicara sesama sendiri. Majlis akad nikah yang dijadualkan dilakukan selepas isyak telah bertangguh sehingga ke jam sepuluh malam gara-gara pengantin lelaki yang masih belum sampai.
Penat sahaja Imam Ramli pakai baju cantik-cantik dan palit minyak atar Mekah semata-mata hendak jadi saksi pernikahan Idham dan Orked. Kalau dia tahu begini, lebih baik Imam Ramli pakai kain batik saja! Layan isteri barunya lagi bagus. Siapa sangka, Imam Ramli yang sudah berusia 60an itu boleh beristeri muda janda bergetah berusia 24 tahun. Mengamuk sakan Jah Zumba minta diceraikan. Mujurlah ilmu pendinding lelaki itu agak tinggi, beberapa kali juga dia berjaya menepis pinggan mangkuk yang melayang di majlis pernikahannya. Itupun sempat juga dua tiga kali pinggan itu singgah di kepalanya. Meleleh darah berjejeran dari dahinya. Tidak ada sesiapapun berani campur tangan. Dan akhirnya Imam Ramli berjaya melembutkan hati kedua-dua isterinya untuk saling berbaik-baik. Habis kisah imam Ramli…
Nama pun imam, kalau tidak cukup ilmu di dada tak mungkin sanggup dia buat kerja gila berkahwin dengan janda muda yang lebih muda dari usia anaknya sendiri. Malu-malu saja Fitri panggil ibu tirinya makcik, maklumlah dulu mereka pernah belajar satu bilik darjah. Kata orang sekarang, Fitri dan mak tirinya adalah ex classmate.
“Pengantin lelaki tak sampai lagi ke?”
Jiran-jiran mula bertanya-tanya. Ibu pengantin perempuan sudah cukup resah mendengar soalan-soalan yang tidak enak di telinga. Lebih resah lagi bila soalan mereka tidak dapat dijawab dengan jelas oleh pihak pengantin lelaki. Iaitu mak dan abah Kamarul.
“Lambat lagi ke?” Tok Kadi pula bertanya sambil mengukuhkan silanya. Sesekali dia melihat skrin telefonnya. Haihh! Takkan tok kadi sibuk updatestatus kat facebook? Desis Imam Ramli. Cemburu juga dia, lelaki setua Tok kadi tidak ketinggalan dalam ilmu teknologi maklumat. Sedangkan dia sendiri, hendak naik status whatspps pun kena minta Jah Zumba yang buatkan. Sudahnya penuhlah status imam Ramli memuji isteri tuanya. Sahlah status itu Jah Zumba yang naik sendiri bagi pihak imam Ramli. Mula-mula si Raisya isteri mudanya cemburu juga. Tapi bila satu hari tiba-tiba ada status baru Imam Ramli ‘isteriku, diusia begini kau masih ayu seperti dulu’ diiringi gambar Jah Zumba sedang memberi flying kiss, sedangkan ketika itu Imam Ramli sedang leka menyikat rambut Raisya yang terkena gam tikus. Tahulah Raisya betapa perasannya kakak madunya itu. Dia senyum sahaja, biarlah dia mengalah asalkan keharmonian rumahtangga tetap terpelihara.
“Kami pun tak dapat nak jawab tok. Mak pengantin pun tak dapat nak jawab soalan ni, apatah lagi kami!”
Pak Cik Musa menjawab agak keras. Satu jawapannya untuk soalan tok kadi, dan jawapan yang sama juga digunakan untuk menyindir bakal besannya. Barannya mula membahang. Sesekali dia menjeling encik Jamal yang nampak takut-takut untuk memberikan kata putus perihal anaknya Idham.
Suasana semakin tidak enak, bisik-bisik spekulasi mula kedengaran di sana sini. ‘Orang masjid’ pun sudah mula minta diri untuk pulang. Yang tinggal hanya jiran-jiran terdekat sahaja. Budak-budak bujang juga sudah mula gelisah hendak merempit sedangkan anak gadis-anak gadis sibuk membantu mengemas kembali rumah yang sudah lintang pukang akibat majlis tahlil dan akad nikah Idham dengan Orked.
“Hmmm, Orked Karmila.” Kamarul seolah-olah melepaskan keluhan. Orked yang berikrar untuk menjadi musuhnya sampai mati. Tapi sekarang Orked yang sama juga akan menjadi kakak iparnya. ‘Nasib kau la bang long. Esok-esok kalau si Orked tu macam orang patah tengkuk, kau jangan boring pulak. Perempuan ni, mengada-ngada sikit-sikit ok. Tapi kalau mengada-ngada melampau memang saja mintak penampar.’
‘Orked… Orked, entah macam manalah kau boleh ‘sangkut dengan abang long aku.’ Kamarul bergumam lagi. Wajah perempuan katik itu terbayang di matanya. Tapi itu wajah sembilan tahun lepas, bukan wajah sekarang. Sebab, sejak Orked bekerja sebagai peguam tersohor yang sudah menang banyak kes, dia amat jarang pulang ke kampung. Kalau dia pulang, Kamarul pula berkonvoi motorsikal dengan kawan-kawannya. Begitulah.
No comments:
Post a Comment