CIK HANIM JANDA BERHIAS

STOK TERHAD
RM35sm/RM38ss
termasuk pos
BAB 1
“SAMPAI bila kau nak usung anak dara aku ni Zarul?” Tanya abah dengan wajah yang serius. Walaupun abah sudah dua tahun pencen, tapi aura koperal polis masih terpancar jelas pada wajahnya.
Aku pandang muka Zarul yang sudah berubah rona. Nampak halkum dia bergerak beberapa kali, cuba menelan kuih bingka ubi yang emak masak petang tadi. Macam dah tercekik kuih tu pada anak tekak dia, terperanjat agaknya penangan soalan spontan abah yang tidak dia duga itu. Senyap aje Zarul. Entah apa agaknya yang ada dalam fikiran dia sekarang.
“Sudah berapa lama engkau berkepit dengan Hanim ni Zarul?” Tanya abah lagi.
“Kalau tak salah aku, sejak Hanim masih dalam tingkatan tiga lagi kan? Engkau pulak dalam tingkatan empat.” Tak sempat Zarul hendak menjawab, abah aku dah sambung bercakap. Sendiri tanya, dia sendiri juga yang jawab. Abah aku nilah.
“Umur lima belas dengan enam belas tahun dah gatal nak bercinta. Aku hantar anak dara aku pergi sekolah untuk belajar dan menimba ilmu, tapi kau pulak gatal mengurat anak dara aku.” Abah lemparkan jelingan tajam pada aku. Ada makna jelingan abah tu weh!
Sinis sahaja ayat abah pada pendengaran aku. Ini kes pukul anak sindir menantu agaknya. Abah bahan Zarul dengan ayat pedas berapi dia. Tapi hati aku pulak yang rasa tersindir. Seolah-olah abah nak beritahu yang aku ni anak dara gatal. Dia hantar aku pergi ke sekolah untuk belajar, tapi aku menuntut ilmu lain pulak. Belajar dan timba ilmu cinta monyet daripada Zarul.
“Ni, umur Hanim sudah dua puluh lima tahun. Dah masuk sepuluh tahun kamu berdua bercinta. Bayang nak bertunang pun aku tak nampak, apatah lagi bayang pelamin. Bayang cucu pun jauh sekali.” Huii… sampai ke cucu dah abah aku bayangkan. Jauh betul angan-angan abah aku ni.
“Sampai bila kamu berdua nak berkepit tanpa ikatan yang sah ni hah, Zarul, Hanim? Bercinta lama-lama, tak bosan ke? Tak ada impian nak berumah tangga macam orang lain?” Macam meriam buluh soalan itu meletus dari mulut abah. Zarul semakin membungkam di atas sofa yang didudukinya. Nampak sangat dia macam tak berani hendak menjawab soalan yang koperal pencen itu beri.
Abah aku kalau dapat membebel, memang susah hendak jumpa tanda noktah. Tanya orang macam dia tengah soal siasat penjenayah aje. Keluarga aku ni dah terbalik. Abah pulak yang kuat berleter. Emak aku memang tak banyak cakap. Tapi bila emak aku dah buka mulut, aku pulak yang kalut dan makan hati kena bahan dengan emak. Siap dengan hadis dan ayat Al-Quran emak aku beri. Boleh bernanah telinga dibuatnya kalau kena tazkirah dengan bekas ustazah tu.
Zarul masih mendiamkan dirinya. Agaknya sedang menyusun ayat untuk menjawab kata-kata abah aku. Sesekali pandangan kami beradu. Kesian pulak aku tengok muka Zarul yang macam orang tercekik biji cempedak itu.
“Apa lagi yang kau tunggu Zarul? Kerja tetap dah ada, tapi niat nak berumah tangga tu yang tak ada agaknya. Kau cuma hendak permainkan perasaan anak dara aku ya Zarul?” Sembur abah lagi. Sejak tadi berdas-das soalan abah tembak pada Zarul, tapi pak we aku ni macam dah jadi bisu pulak, tak reti-reti dia menjawab soalan beracun yang abah aku beri tu agaknya. Aku pulak yang rasa gatal mulut hendak tolong jawabkan soalan abah tu.
“Bukan macam tu pak cik. Saya memang hendak sangat kahwin dengan Hanim, tapi…”
“Tapi apa?” Cantas abah pantas.
Abah ni pun satu. Tak boleh ke biarkan Zarul habiskan kata-katanya dulu. Cepat sangat menyampuk cakap Zarul. Kalau aku menyampuk cakap dia, boleh pulak dia cakap aku ni kurang ajar sebab menyampuk cakap orang. Dia buat tak apa pulak ya. Ish, abah ni. Geramnya aku.
“Saya tak akan kahwin dengan Hanim selagi Kak Long saya belum kahwin pak cik. Emak saya tak benarkan saya langkah bendul,” jelas Zarul perlahan.
“Kalau sampai tua Kak Long kau tak kahwin-kahwin, memang masuk group andartulah anak dara aku ni, Zarul. Bendul jugak kau ni ya!” Bidas abah geram. Terkulat-kulat Zarul bila abah meninggikan suaranya. Aku pulak yang rasa seram.
“Macam ginilah Zarul. Aku beri kau tempoh dua bulan. Kalau dalam masa dua bulan tu aku tak terima sebarang pinangan daripada pihak keluarga engkau untuk Hanim, aku akan kahwinkan Hanim dengan orang lain. Bukan kau sorang saja yang hendakkan anak aku ni, Zarul. Ramai yang dah bertanya dan merisik Hanim ni. Cuma dia saja yang masih berdegil, nak juga tunggu pinangan daripada kau.”
“Abah!” Terkejut aku dengar cakap abah.
“Apa yang abah cuba buat ni? Hanim tak nak kahwin dengan orang lain. Hanim nak kahwin dengan Zarul saja. Muktamad!” Bentak aku dengan perasaan geram.
“Muktamad tak muktamad. Abah peduli apa! Keputusan abah lagi muktamad. Faham!” Jawab abah berang. Nampak sangat abah panas hati dengan kata-kata aku serta jawapan yang Zarul beri tadi. Segarang-garang abah aku, aku tetap sayang dan hormatkan dia. Tapi aku juga sayangkan Zarul. Tak senang duduk aku dibuatnya. Syarat abah buat aku dan Zarul terkedu. Wajah Zarul sudah bertukar rona. Lama pandangan aku dan Zarul beradu. Renungan Zarul menghantar isyarat yang agak sukar untuk aku fahami.
“Pak cik kena faham masalah saya,” ucap Zarul Perlahan. Mengharapkan simpati daripada abah.
“Kau juga kena faham dengan masalah yang keluarga aku hadapi, Zarul! Anak dara aku bukan semakin muda. Telinga aku dah hampir menanah dengar orang kampung ni mengata kamu berdua. Aku tak kira, hendak atau tidak, kau kena terima syarat aku. Kalau tidak, kau faham-faham sendirilah ya.” Kata putus abah buat Zarul terdiam. Abah bangkit dari duduknya dan meninggalkan kami berdua di ruang tamu itu.
“Hanim… macam mana ni?” Soalan Zarul buat aku tergamam. Aku hanya mampu menaikkan bahu, tak tahu nak jawab macam mana.
Abah, tolonglah!
atau

No comments:

Post a Comment