Open pre order sehingga 15/2
PRINT ON DEMAND
Harga pre order
RM32 SM / RM37 SS
termasuk postge
Teaser
***
“Dah banyak rasanya kayu ni abang. Jom la balik. Laila penat.”
Laila duduk bersandar pada sepohon pokok yang besar. Melepaskan lelah. Zulkarnain pandang adiknya dan dia menggeleng. Dia mendekat dan diambil parang yang berada di pinggang. Melihat sekitar kawasan. Mencari akar atau tali pokok liar untuk dijadikan ikatan kayu supaya senang mahu dibawa pulang.
Jumpa. Dia memotong kepada dua bahagian dan mengikat kayu di bahagian atas dan bawah. Kayu itu nanti akan dijadikan unggun api untuk mereka memasak. Siap satu ikatan, dia membuat lagi dua ikatan yang lain. Ikatan untuk Laila hanya diikat beberapa kayu sahaja. Tidak mahu adiknya itu mengangkat beban yang berat.
“Abang nak rehat la sekejap.”
Zulkarnain pula sandarkan badannya pada pokok yang sama. Laila terpandang pokok buluh yang tidak jauh dari tempat mereka berehat.
“Laila ke sana sekejap. Mana tahu ada rebung yang baru naik. Boleh masak untuk tengah hari ni.”
Zulkarnain hanya mengangguk. Membenarkan adiknya mencari rebung seperti yang diminta. Dia pejamkan mata seketika. Badannya tersentak apabila dia mendengar jeritan Laila. Segera dia bangun dan berlari ke arah adiknya. Parang yang berada di hujung kakinya sempat disambar.
“Kenapa ni?”
Laila tunjukkan tangannya pada apa yang membuat dirinya terperanjat seketika tadi. Zulkarnain turut sama melihat.
“Allahuakbar.”
Zulkarnain mendekat. Laila tarik tangan abangnya.
“Abang.”
“Jangan takut.”
Laila mengikut langkah Zulkarnain. Tangan abangnya yang berotot dipegang kejap. Zulkarnain menunduk apabila dia sudah sampai kepada apa yang mereka lihat seketika tadi. Sekujur tubuh manusia yang sedang berbaring mengiring. Dia balikkan badan itu. Sah! Memang manusia.
Zulkarnain meletakkan jarinya pada rongga pernafasan manusia yang tidak sedarkan diri itu. Detak nafas normal.
“Dia hidup lagi.”
Zulkarnain berkata kepada Laila. Laila beranikan dirinya. Dia menyentuh dahi perempuan di depannya.
“Panas ni abang.”
“Kau tengok pakaiannya.”
“Pelik.”
“Ya. Pakaiannya lain benar. Aku tak pernah nampak dia di kampung kita.”
“Entah-entah dia makhluk asing.”
“Hisyhh. Mahkluk asing apa cantik seperti ni.”
“Atau dia puteri pokok buluh betung ni abang?”
Laila pandang pokok buluh betung di depannya. Segera dia menyorok sedikit di belakang abangnya.
“Jangan mengarut. Puteri pakaian dia cantik. Tak pakai macam ni. Seluar ketat.”
Laila telan liurnya. Dia masih takut.
“Kita nak buat apa ni abang?”
“Kita bawak dia balik.”
“Abang serius?”
“Ya. Takkan kau nak biarkan dia dekat sini. Kita yang jumpa dia. Tanggungjawab kita untuk selamatkan sesama manusia.”
“Tapi abang. Kita tak kenal siapa dia.”
“Nak memberi pertolongan tak perlu dipersoalkan tentang kenal atau tidak.”
“Kalau dia berniat jahat macam mana?”
“Dia sendiri tak sedarkan diri. Macam mana dia nak berbuat jahat?”
Laila berfikir. Betul juga kata abangnya.
“Kita nak bawak dia balik macam mana?”
“Satu je caranya.”
“Apa dia?”
Zulkarnain segera mencempung badan perempuan yang tidak dikenali itu dan diangkat ke atas bahunya. Laila melopong. Tak sangka yang abangnya akan berbuat begitu. Selama ini abangnya sangat menjaga batas antara dirinya dengan perempuan.
“Kita balik dulu. Nanti kayu tu aku ambil kemudian.”
Laila mengangguk. Dia mencapai kayu yang telah siap diikat oleh Zulkarnain seketika tadi. Hanya mengambil bahagiannya sahaja. Yang selebihnya ditinggalkan untuk abangnya.
email : mybizsantaishop@gmail.com
No comments:
Post a Comment