KESUMAT TAJUL ZULKARNAIN

KESUMAT 
RM32 SM / RM35 SS
postage RM8 SM / RM12 SS
MELODI indah dari ruang hadapan, tidak mampu menenangkan hati Ruji. Lenjum dengan peluh, sejak siang tadi dia bertungkus lumus menyediakan hidangan. Bersendirian. Miskin mengotakan katanya, tidak sedikit pun membantu si isteri. Lauk-pauk yang Miskin minta ada dua puluh jenis jumlahnya dan setiap lauk wajib dimasak untuk sepuluh kepala.
Gila! Miskin memang gila memaksa Ruji melakukan semuanya seorang diri. Itu belum termasuk pemanis mulutnya lagi. Ada pelbagai jenis dan rasa. Semuanya Ruji buat dengan tangan sendiri, daripada bahan mentah yang masih terkurung di dalam plastik jernih, hinggalah menjadi kuih-muih yang lazat. Penatnya tidak terkira tetapi demi hatinya sendiri yang pasti akan rabak jika dia gagal mematuhi kehendak Miskin, Ruji betahkan diri.
Malam itu Ruji mengenakan roman paling manis, menyambut tetamu yang tidak pernah dikenalinya. Dia tidak pernah dibawa berjumpa dengan rakan bisnes dan pelanggan Miskin sebelum ini. Kata Miskin, dia tidak ada standard.
Sekarang dia ada standardkah?
“Sedaplah masakan isteri you, Ken. Semua-semua ni dia sendiri ke yang masak?”
Pujian seorang wanita singgah di telinga Ruji, yang ketika itu sedang berhempas pulas di dapur. Terjeda seluruh pergerakannya.
Miskin jadi Ken rupanya. Standardlah sangat! Sempat berdetik hati Ruji. Bukan iri. Tidak! Sekadar murih kerana dibiarkan terkontang-kanting seorang diri.
“Dialah yang masak! Siapa lagi? Apa gunanya ada isteri kalau tak tahu masak!” Tempelak Miskin, disambut oleh deham malan beberapa orang wanita yang cepat-cepat menghirup minuman dingin untuk melegakan tekak.
“Siapa nama isteri you?” tanya tetamu yang sama.
“Rujiah. Nama kampung...” Miskin menjawab dengan melodi menghina. Suaranya kuat supaya hinggap di telinga Ruji. “Panggil Ruji je. Glamor sikit kut...” Dia bersendirian ketawa.
“Ruji, marilah makan sekali,” pelawa wanita yang bertanya tadi.
Sepantas kilat, badan Ruji yang sedang membongkok terus lurus ke atas apabila terdengar namanya dipanggil. Berjeda untuk memastikan dia tidak berangan.
“Ruji! Ruji! Marilah makan sekali.” Sekali lagi wanita itu mempelawa. Orangnya tidak kelihatan. Suaranya sahaja menjenguk ke dapur.
Makan sekali? Leluconnya, cetus hati Ruji. Hampir terburai tawanya. Siapa yang akan menyelenggara bahagian makanan jika dia duduk bersama mereka? Miskin? Ah, sangat lelucon!
“Eh... tak payah! Jangan risau pasal dialah.” Miskin mencantas rasa prihatin isteri rakan bisnesnya. Suaranya tinggi.
Terkebil-kebil mata wanita itu disanggah kasar. Kalau macam tu Miskin melayan isteri orang lain, fikirnya, entah macam mana agaknya dia melayan isterinya sendiri!
“Tempat isteri memang kat dapur. Tak kiralah zaman berubah ke apa, tetap kat dapur. Makan. Makan,” sambung Miskin tanpa menyedari ucapannya itu telah menggores perasaan setiap tetamu wanitanya sehingga terdiam mereka, senak perut untuk terus berbicara.
Selang lima minit, Ruji muncul untuk mengemaskan pinggan di atas meja yang telah digunakan oleh para tetamu dan menggantikannya dengan pinggan mangkuk bersih. Pandangannya bertembung dengan pandangan seorang tetamu wanita. Berjeda dia seketika. Tergamam. Renungan wanita itu mengandungi unsur-unsur yang membuatkan hati Ruji tersayat, lantas Ruji melarikan matanya di mana tanpa sengaja, pandangannya mendarat atas mata wanita yang seorang lagi.
Dua orang tetamu wanita memberikan renungan yang serupa, yang sarat dengan simpati dan sokongan. Melemahkan benteng kekuatan hati Ruji. Ligat dia melangsaikan tugasnya tanpa memandang sesiapa lagi.
Ruji kembali ke dapur, bergegas meletakkan pinggan mangkuk kotor ke dalam singki. Tangannya yang menggeletar, menggenggam tepi singki dengan kuat. Dia tidak tahu apa yang telah berlaku di luar sana sehingga menyebabkan tetamu wanita mereka menghadiahkannya renungan itu. Dia tidak dengar, terlalu sibuk menyempurnakan kehendak Miskin. Namun, dia yakin Miskin telah menyuarakan pendapat yang kurang menyenangkan. Pendapat yang menghinanya.
‘Depan orang, cubalah buat perangai elok sikit!’ Pelan-pelan Ruji mengeluh. Penat dia bekerja agar Miskin dipuji, agar maruah Miskin diangkat tinggi oleh rakan bisnes dan pelanggan-pelanggannya tetapi Miskin sendiri yang meletakkan maruahnya di bawah tapak kaki mereka.
Bibir Ruji mencebik. Kolah matanya bergenang. Pelan-pelan dia mengumpul semula tenaga dan memulakan kerja.
Di meja makan, semua tetamu wanita tidak sanggup bertanya soalan lagi. Biar sahaja suami mereka yang berbual. Majlis itu pun diadakan untuk meraikan suami mereka. Adanya mereka di situ sebagai peneman sahaja. Biarlah mereka diam seakan tidak mesra, asalkan hati Ruji terjaga.
“Mana anak-anak kau, Ken?” soal seorang lelaki yang terpaksa menggunakan dua buah kerusi untuk menampung besar punggungnya.
Beberapa orang tetamu wanita panas punggung mendengar soalan itu. Mata mereka tajam. Mereka tahu Ruji dan Miskin tiada anak, melalui gambar-gambar berbingkai yang dipamerkan di merata ruang tamu. Yang mereka bimbangkan, Miskin akan menyalahkan Ruji. Mengaibkan Ruji di hadapan mereka.
“Mana ada anak!” jawab Miskin, bersahaja suaranya sedangkan hatinya bergetar kuat apabila disogokkan dengan soalan itu.
“Baru kahwin ke? Aku tengok korang berdua dah season. Takkan baru kahwin kut.” Lelaki obes itu berdekah. Ketawa-ketawa juga tetapi makanan masuk juga ke dalam mulutnya, sedalam kata-katanya menusuk hati Miskin.
“Lama dah. Tujuh tahun. Tapi isteri aku mandul.”
Bening. Walaupun muzik tetap berbunyi. Bening. Walaupun ada sudu dan garpu yang berlaga dengan pinggan. Bening.
Di dapur, Ruji hampir terduduk diaibkan begitu oleh suaminya sendiri.
“Nak buat macam mana. Dah jodoh dapat perempuan tak boleh beranak. Perempuan tak subur. Takkan nak ceraikan pulak. Nak nikah lain tak boleh sebab aku dah janji dengan bapak si Ruji ni yang aku takkan duakan anak dia.” Miskin menanam prasangka orang terhadap isterinya.
Bening. Sekali lagi.
“Mandul ni bukan masalah orang perempuan je. Dah check ke? Tak boleh main tuduh je. Orang lelaki pun ada je yang mandul. Kalau you nak tahulah...” kata seorang wanita tiba-tiba, nada sarkastik. Dia tidak mampu lagi menahan lidahnya.
Lelaki obes tadi kembali berdekah. “Terbaiklah, you!” Dia kembali ketawa selepas memuji wanita itu. “Isteri aku ni. OBGYN. Memang bidang dia,” sambungnya, memandang Miskin pula.
“Kami dah check.” Miskin enggan mengalah. “Memang dia mandul.”
Isteri lelaki obes menghirup minuman dengan roman tanpa reaksi, malas melayan Miskin yang berkelakuan seperti remaja dilinkuen itu. Yang pasti, akaun suaminya di syarikat Miskin akan ditutup.

No comments:

Post a Comment