Assistant Tuan Menteri ~ Sera Elya



atau
WhatsApp 010-4398892
atau

Harga: RM26.00 SEM / RM29.00 SS
poslaju RM8.00 SEM / RM12.00 SS

AKU baring terlentang atas katil. Bosan sungguh rasanya. Balik kampung kali ni rasa macam tak mengujakan. Seperti ada sesuatu yang hilang. Tak tau nak buat apa, aku bangun. sambil garu-garu kepala macam ada kutu membiak, aku jalan keluar dari bilik. 

Masa tu lah aku ternampak kelibat orang kat dapur. Eh? Awalnya abang aku balik? Aku jeling jam kat dinding. Baru pukul 10 pagi. Selalunya tengah hari baru Rashdan jenguk muka ambil makanan bawa ke ladang untuk jamu pekerja-pekerjanya makan.

Dapur rumah aku dah macam dapur katerer pula setiap kali tengah hari menjelma sejak Mak Semah pergi umrah. Buat sementara, Kak Long kena jadi Masterchef. Tak menang tangan dibuatnya. Meh la aku rajinkan diri menolong apa yang patut. Bukan selalu pun aku dapat tolong Kak Long.

“Kak Long...hari ni....arghhhhhh!” Aku jerit kuat.

Lukman yang tengah teguk air sirap tergamam tengok aku. Tak tunggu sesaat, lintang pukang aku lari masuk bilik. Sejak bila pula Lukman ada akses penuh keluar masuk rumah aku masa Rashdan tak ada ni? Aku merungut tak puas hati. Untunglah Lukman dapat tengok rambut aku yang menggerbang macam Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Lukman, pembantu setia yang merangkap setiausaha tu ibarat bayang-bayang Rashdan. Seperti belangkas pun ada juga. Aku dengan Lukman jarang bercakap. Mamat specky tu ala-ala pemalu gitu. Kalau aku ada, tunduk aje kepalanya. Seolah-olah segan nak pandang muka aku. Nak kata dulu dia sekolah pondok, tak pula aku tau. Setahu aku dulu dia sekolah sains. Masuk UPM sama dengan Rashdan. Cuma dia lewat setahun.

Masa zaman sekolah rendah dulu memang aku tak kawan dengan Lukman. Tak perasan pun kewujudan dia kat sekolah tu. Tiba-tiba saja dia muncul lepas tamat belajar kat UPM. Bila aku cuba ingat balik, baru aku perasan siapa si Lukman ni. Atas sebab itulah aku mengekalkan kesombongan aku kalau terserempak dengan dia.

Lukman mengingatkan aku kepada ‘dia’ yang aku tengah cuba sedaya upaya nak lupakan. Dah hampir dua tahun peristiwa tu berlaku. Sikit-sikit aku berjaya pujuk hati untuk lupakannya. Tapi sedikit gagal kalau aku nampak muka Lukman. Rasa nak suruh aje Lukman pakai topeng muka.

Setiap kali aku teringat, tubuh badan aku mesti rasa panas semacam. Berbahang! Aku bingkas bangun. Capai tudung ekspres dan sarung kat kepala. Aku nak pergi sungai. Berendam lagi baik daripada layan ingatan yang tak suka aku nak ingat. Lepas jerit kat Lukman suruh dia sampaikan pesanan pada Kak Long, aku kayuh basikal laju-laju tuju arah sungai.
Tempat jatuh lagi dikenang. Inikan tempat...haish...aku tak nak sebut. Tapi aku memang suka lepak kat sini.

Kalau Rashdan tau ni, memang masak aku kena pial telinga. Dia tak suka aku pergi sungai sorang-sorang. Takut budak-budak Kampung Pinang Condong buat kacau. Tapi itu dululah masa aku zaman budak-budak. Dah besar-besar ni berani ke samseng kampung sebelah tu nak buli aku lagi?

Lagipun ada lagi ke mereka kat kampung ni? Bukan semuanya dah berhambus pergi KL buat kacau kat sana pulak ke?

Lepas letak basikal kat tepi batu, aku melangkah dengan teruja ke arah sungai. Tapi langkah teruja aku mati mendadak. Kalau samseng Kampung Pinang Condong, bolehlah aku tahan lagi. Tapi ni...samseng taik minyak yang terlepas dari Zoo Beijing! Si gemuk a.k.a Mr. Panda yang aku tengah cuba nak lupakan. Dia pun balik bercuti macam aku jugak ke?

Lelaki tu tengah duduk atas batu, kedua-dua tangan kat atas lutut. Jari-jemari dia tengah pintal batang kemuncup. Dia senyum pandang aku.

Aku balas dengan jelingan maut. Bibir mula kumat-kamit sumpah seranah dia entah apa-apa. Baru aje aku nak pusing pergi dari situ, aku dengar suara dia.

“Fina...tunggu.”

Tapi aku buat tak tau. Langkah aku teruskan ke arah basikal.

“Serafina...suami awak panggil ni!”

Langkah aku mati mendadak. Mata meliar pandang sana sini. Moga tak ada sesiapa di situ. Moga tak ada mahkluk yang bernama manusia dengar kata-kata yang terhambur dari mulut celopar Si Panda.

Dia dah pintas aku dan terpacak depan aku. Halang laluan aku nak balik.

“We need to talk.”

Ayat klise dari bibir Mr. Panda buat aku senyum sinis. Kedua-dua tangan aku lipat ke dada. Beri isyarat yang aku tak mahu berbincang apa-apa.
“Kita perlu selesaikan masalah ni.” Suara Mr. Panda lembut memujuk.
Malang sekali langsung tak terkesan dalam jiwa sanubari aku.

“Masa untuk awak bercakap...dah lama tamat. Jadi sekarang...dah tak ada apa-apa yang perlu kita bincangkan.” Aku elak Mr. Panda konon-konon nak tuju arah basikal.

Tapi Mr. Panda terus tarik lengan aku sampai buat langkah terhenti. Aku toleh belakang jeling kat tangan dia yang tengah cengkam lengan aku.
“Lepas.” Aku minta baik-baik. Masih lagi tau nak bersopan-santun dan berlembut dengan ‘suami’ aku tu.

“Sikap awak ni tak akan selesaikan apa-apa. Selamanya ke awak nak kita macam ni? Gantung tak bertali?” Suara Mr. Panda keras sedikit.

“Saya suruh awak potong tali tu...tak nak pulak. Sapa yang panjangkan masalah?” Aku balas. Jengkel. Marah. Bengang. Sakit hati.

“Pernikahan kita sepatutnya tamatkan persengketaan, bukan tambah satu lagi perseteruan.” Suara Mr. Panda kendur.

Panas sungguh telinga aku dengar perkataan ‘pernikahan’ tu. Aku rasa seperti tertipu. Lengan aku rentap kasar sampai terlepas. Aku pusing, paling hadap dia. Kepala aku dongak pandang muka Mr. Panda.

“Pernikahan tu tak ubah apa-apa. Sebab awak penakut nak mengaku yang kita ni dah nikah. Disebabkan awak penakut, kita batalkan rancangan awal tu. Sekarang...kita bawa haluan masing-masing. Seolah-olah kita tak ada sebarang ikatan apa-apa. Bila awak dah jumpa kekasih hati awak, saya pun dah jumpa kekasih hati saya...kita potong tali tu supaya sama-sama tak tergantung lagi.” Aku senyum buat-buat sebelum berpaling nak susun langkah.

“Masalahnya tak ada tali yang nak dipotong. Kitakan tergantung tak bertali.”
Aku dapat kesan senyuman di hujung kata yang Mr. Panda tuturkan. Tapi aku tak berani nak toleh sebab takut jiwa aku tak cukup cekal nak tengok senyuman dia. Ces!

“Apa-apa jelah, Izz. Saya tak peduli. Kita bawa haluan masing-masing mulai hari ni. Selamat tinggal!” Aku tak toleh ke belakang.

Mr. Panda pun tak bersuara lagi nak halang aku. Maknanya, dia setuju. Kami bawa masa depan sendiri asing-asing. Pernikahan tu tak akan ikat masa depan kami lagi. Konon nak damaikan Rashdan dan Adnan dengan pernikahan tu.

Tapi sekarang ni hubungan aku dengan dia pula yang tercalar. Bagai tikus nak baiki labu. Kalau Romeo dan Juliet sama-sama bunuh diri sebab tak berjaya nak tamatkan persengketaan keluarga mereka, aku dengan Si Panda tu tak akan nak ikut sama bunuh diri. Mati dalam kekufuran namanya tu.

Jadi kami pilih untuk teruskan hidup dengan bawa haluan masing-masing. Bina hidup baru. Itu jalan yang terbaik. Percayalah!

No comments:

Post a Comment