TA ..lagi


Kesunyian itu serta-merta membuat hati Afeefah berdebar kencang. Bunyi air hujan dan dihiasi dentuman guruh di langit seakan mengerti perasaan Afeefah saat itu. Tatkala halilintar membela langit, Rizq Ziyaad sempat beristighfar. Kerana akal dan hatinya hanya terbayangkan gadis di sebelahnya.
Perasaan yang sebolehnya dia tolak jauh dari hati. Tapi, dalam keadaan begitu dia takut dia tak mampu menafikan perasaan cinta yang sudah wujud entah sejak bila lagi.
Saat Rizq Ziyaad sudah tidak mampu untuk berada lama di sisi Afeefah lagi, dia buru-buru membuka pintu kereta. Terus sahaja menarik perhatian Afeefah.
“Rizq, apa awak nak buat?” tegur Afeefah dan terus sahaja mencapai tangan Rizq Ziyaad. Serta-merta wajah Rizq Ziyaad berubah riak. Gelora di dalam dada semakin membuai rasa. Pandangan mereka sekali lagi bertautan.
Kali ini, Afeefah pula yang tergagap tiba-tiba. Tak sangka dia boleh bertindak sebegitu. Memegang tangan lelaki itu tanpa sedarnya. Saat Rizq Ziyaad memandangnya tanpa kelip, Afeefah menyedari keterlanjuran diri. Lalu pegangan tangannya dilepaskan. Sementelah Rizq Ziyaad sempat menggigit bibir sendiri. Menyesali tingkahnya. Sebelum pintu kereta ditutup semula. Tanpa menginjak keluar.
“Saya nak tengok enjin kereta sebentar,” cetus Rizq Ziyaad, cuba menukar suasana gagap antara mereka berdua.
“Tapi, kat luar tu hujan lebat. Nanti awak basah.”
“Tak apa. Saya kena tengok juga.” balas Rizq Ziyaad tenang.
“Kereta awak ni takda payung ke?” tanya Afeefah pula sambil matanya melilau ke tempat duduk belakang. Selalunya, dia sendiri ada letak payung di belakang tempat duduk. Senang untuk dicapai.
“Ada kat belakang rasanya. Biar saya…”
Serentak itu Rizq Ziyaad memusingkan badan dan mahu mencapai payung di belakang tempat duduknya. Dalam masa yang sama Afeefah juga terpandangkan payung itu. Lalu, tatkala mereka serentak mahu mendapatkan payung itu, bukan setakat kepala mereka yang terhantuk sesama sendiri, bahkan separuh tubuh Afeefah sudah berada dalam pelukan Rizq Ziyaad.
Saat Rizq Ziyaad mengangkat tangan dan mahu mendapatkan payung, sekaligus tangannya menyilang ke badan Afeefah yang sudah separuh berpusing. Lalu, Afeefah menoleh dan pandangan mereka terkunci menjadi satu.
Saat itu, debaran di hati Afeefah menghentak hebat. Terasa sesak nafasnya saat hembusan nafas Rizq Ziyaad seakan ganas menyapa pipinya. Hanya beberapa inci sahaja bibir Rizq Ziyaad sudah boleh menyentuh pipi Afeefah.

Rizq Ziyaad telan air liur sekali lagi saat nalurinya ganas tidak mahu melepaskan Afeefah dari dalam pelukannya. Saat matanya meliar menjelajah wajah gadis itu yang begitu lembut menyapa penglihatannya. Sukarnya mahu menggambarkan perasaan indah yang dirasakan saat itu. Dada Rizq Ziyaad berombak kencang sementelah tubuh Afeefah sudah mula bergetar hebat. Namun, pandangan mata yang memukau itu saling menyapa cukup menyampaikan bicara hati mereka berdua.

No comments:

Post a Comment