Ikhlas Memilihmu.
RM22.00 SEM/ RM25.00 SS
poslaju rm8 sem / rm12 ss
Khusyuk betul Datin Roziah membaca majalah Mingguan Wanita di ruang tamu. Begitu juga Qistina yang turut berada di sana sambil menggunakan laptop. Tidak pasti sedang bermain facebook ataupun menguruskan perniagaannya itu.Sekilas, Datin Roziah mengangkat wajah. Sempat dia mengerling ke arah Qistina. Berkerut dahinya. Mana tidaknya, anaknya itu kelihatan sedang tersengih-sengih. Macam orang terkena penyakit angau pun ada. Dah kenapa?
Takkanlah tengah tengok cerita Dilwale? Yalah, dengar-dengar kata cerita itu romantik tahap kencing manis. Entah ya ke tidak, Datin Roziah tidak tahu. Sebab dia tak minat cerita jenis merapu macam tu. Opss...
"Qis tengah buat apa tu?"
Qistina tersentak. Bersepai lamunan tatkala teringatkan seseorang. Mulut yang mengukir senyum tanpa sedar tadi terus mengendur. Lalu diangkat wajah memandang mata mama yang tunak merenung ke arahnya.
"Tak ada apalah. Tengah catat rekod sikit ni hah."
Catat rekod? Rekod apa bendanya sampai boleh tersengih-sengih macam kerang busuk tadi. Anak dia betul ke tak ni? Ke kena rasuk dengan jin atau bunian?
"Rekod apa?"
"Ala mama. Rekod bisnes Qis lah."
Datin Roziah hanya mengiakan walaupun hati sangsi dengan jawapan itu. Dia kemudian menyambung semula bacaan yang tergendala tadi. Belum habis pun satu baris ayat, majalah itu diturunkan perlahan-lahan. Secara rahsia, dia cuba mengintai keadaan Qistina semula.
Tengok tu! Dia senyum lagi. Sekali tengok, macam nak rabak pipi. Ini mesti ada yang tak kena ni.
'Ni tak boleh jadi. Aku kena siasat.' Gumam hati Datin Roziah.
Perlahan-lahan dia meletakkan majalah di atas meja kopi. Dia bangun lalu mengatur kaki menuju ke arah Qistina. Punggung dilabuhkan di sebelahnya. Sambil mata ditalakan ke arah skrin laptop untuk melihat apakah sebenarnya yang dilakukan oleh Qistina.
Agak mengejutkan kerana yang kelihatan hanyalah paparan dekstop. Paling memeranjatkan, Qistina boleh tak perasan yang mama dia ni sudah berubah tempat duduk. Siap duduk di sebelahnya lagi. Nampak sangat akal anaknya itu sedang leka memikirkan benda lain.
"Kamu tengah ingatkan siapa sebenarnya ni Qistina?" Datin Roziah menepuk lembut paha Qistina.
Senyuman meleret turut tersungging di bibirnya. Naluri seorang ibu kuat mengatakan anaknya sedang dilamun cinta. Kalau tidak, masakan Qistina jadi begitu.
"Hah?!" Qistina menelan liur.
Bulat mata apabila melihat mama sudah ada di sebelah. Rasa macam tak percaya. Bila masa mama datang? Ke mama ada berguru dengan David Copperfield ni?
"Mama tanya ni, kamu tengah ingatkan siapa? Dari tadi lagi mama tengok kamu asyik menyengih aje. Mesti ada apa-apa ni."
"Eh tak ada apa-apalah. Qis tengah buat kerja ni."
"Mana?"
Qistina ternganga. Baru perasan laptopnya kosong. Bimbang diasak, cepat-cepat dia menekan perisian microsoft excel.
"Dah dah. Tak payah nak berlakon lagi. Cepat cerita kat mama. Qis ingatkan sapa ni? Buah hati ek? Siapa? Iskandar ke?"
Qistina menyeringai. Mukanya terus masam mencuka. Menyampah betul dengar nama lelaki penipu macam tu. Kalau boleh, dia tak mahu lagi ada kaitan apa-apa lagi dengan lelaki itu.
"Eii tolonglah mama."
"Habis tu?"
Qistina menghela nafas berat. Nampaknya dia sudah tidak dapat mengelak lagi. Mama bijak memasang perangkap. Lagipun sampai bila dia nak berahsia. Tidak salah rasanya berkongsi benda yang baik. Cuma apa yang dia takutkan, jika mama akan menentang apa yang bakal didengari sebentar lagi.
"Sebenarnya kan..."
Tak berkerdip mata Datin Roziah. Tekun betul dia menadah telinga mahu mendengar pengakuan anaknya.
"Sebenarnya kan..."
Datin Roziah mula sakit hati. Nampak sangat Qistina seperti nak bermain tarik tali. Sekali lagi kalau dia main-main, siaplah. Mendapatlah upahnya nanti.
"Sebenarnya..."
Kelekuk!
WhatsApp 010-4398892
No comments:
Post a Comment