TIGA JODOH

TIGA JODOH
HARGA RM36.00 SEM / RM43.00 SS
termasuk poslaju

Jom layan....


“Takut juga ye saya lari. Saya takkan tinggalkan awak, Eisya. Saya nak pergi buat air.”

“Air? Habis air ni siapa yang nak minum?”

“Sayalah.” Sahut Farhan ringkas.

Air? Eisya mengerut dahi seribu. Berapa banyak air yang dia nak minum ni? Belum sempat beberapa langkah, Farhan menapak ke belakang.

“Sayang juga awak dengan saya.” Walau pun perlahan menyapa cuping telinga Eisya, namun benar-benar membuatkan jantung Eisya terhenti. Tersirap darah Eisya mendengarkan kata-kata Farhan itu. Berani sungguh bos ni. Depan Nizam pula tu. Dengan perlahan Eisya melirik kepada Nizam yang sudah tersenyum. Hati Eisya mula tertanya, takkan dia tak rasa cemburu kot? Dia memang tidak faham!

Tidak lama kemudian, Farhan kembali ke meja dengan membawa mug berisi air. Dia kemudiannya meletakkan mug di hadapan Eisya dan Eisya dapat melihat akan nota yang telah ditampal. Eisya memandang kepada Farhan. Saat Eisya memandang kepada Farhan, Eisya terkejut apabila Farhan melabuhkan punggung di sebelahnya bukan di tempat asalnya tadi. Ini apa cerita pulak? Debaran hati Eisya tidak boleh nak diceritakan lagi. Mungkin bersama dengan Nizam dia rasa debarannya, namun dengan Farhan terlebih pula debarannya. Farhan menolak lembut mug itu kepada Eisya.

“Untuk awak.” Terkebil-kebil Eisya menyambut mug itu. Tidak sanggup untuk dia memandang kepada Farhan yang duduk di sebelahnya. Haruman minyak wangi terus meyapa rongga hidungnya. Tidak pernah dia duduk serapat ini dengan Farhan. 

“Er… saya makan kat meja saya, bos.” Pinta Eisya sambil matanya tidak lepas kepada mug dihadapan. Kata-kata yang tertulis di atas nota itu benar-benar membuatkan debaran Eisya kian kencang. 

‘Sambutlah cintaku, agar kebahagiaan milik bersama.’ 

Eisya memandang sekilas kepada Nizam. Yang Nizam ni pun satu. Dari tadi tak bersuara langsung. Tak habis-habis dengan senyum dia saja. Rasa nak tarik saja bibir Nizam yang tidak henti tersenyum.

“Kenapa pula nak makan kat sana? Apa guna saya buat pantry ni kalau tak digunakan.” Bebel Farhan.

“Bos boleh pulak minum kat dalam bilik.” Cebik Eisya. Farhan ketawa. Geram pula bila dia mendengarkan jawapan cilik milik Eisya. Tidak habis-habis dia dikenakan. Macam manalah dia tidak jatuh hati dengan gadis itu. Sehari dia tidak mendengar suara Eisya, hatinya mula tidak tentu arah. Rasa rindunya membuak-buak. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia lafazkan apa yang tersirat di dalam hatinya namun lidahnya kelu saat dia ingin berkata tentang kebenaran. Ya, dia bukan sahaja sudah jatuh hati tetapi jatuh cinta juga. 

“Saya minum, tak makan. Ini untuk awak. Nasi lemak ayam.” Farhan mencapai nasi lemak di dalam beg plastik dan membuka dengan perlahan. Nasi lemak yang itu kemudiannya disorongkan kepada Eisya. 

“Tak naklah bos.” Eisya menggelengkan kepala.

“Penat tau saya beratur nak beli nasi lemak ni. Makanlah sikit. Atau awak nak saya suapkan?” Okey! Ayat last tu memang membuatkan dia kalah. Susahlah kalau jadi orang bawahan ni. Asyik nak kena buli aje. 

Sesekali Eisya memandang kepada Nizam. Lelaki itu berselera melantak nasi lemak ayam yang dibeli oleh Farhan. Kemudiannya dia melirik di sebelah dan ternyata Farhan turut berselera menikmati nasi lemak itu. Cuma dia yang tiada selera apabila diapit dua lelaki itu. 

“Awak jeling pada saya ada apa-apa ke?” Gulp! Air liur Eisya tersekat dengan tiba-tiba. Hai, macam mana dia boleh perasan ni? Dia ni ada cermin sisi ke sampai orang pandang pun boleh perasan? 

“Er…. Mana ada?” Tingkah Eisya. Dia kemudiannya meneruskan sarapan pagi tanpa memandang kepada kedua-dua lelaki itu. Farhan tersenyum. Riang hatinya apabila dapat menikmati sarapan bersama-sama dengan Eisya. Bagaikan bulan jatuh ke riba rasanya. 

Pada mulanya dia mahu bersama-sama dengan Eisya berduan di dalam bilik itu, namun oleh sebab dia tahu Eisya seorang yang pemalu dan sudah tentu Eisya akan angkat kaki kalau berduaan, akhirnya dia meminta bantuan Nizam untuk makan bersama. 

“Nizam, raya hari tu dengar cerita awak ada pergi merisik. Betul ke?” Farhan membuka ruang perbualan yang membuatkan Eisya hampir tersedak. Farhan menjeling perlahan. Suka benar dia melihat akan perubahan wajah Eisya. 

Eisya tidak jadi masukkan nasi ke mulutnya. Betapa dia tidak suka dengan topik perbualan yang dibuka oleh Farhan. Farhan hanya bertindak tenang dan selamba. Manakala Nizam pula hanya tersenyum dan mengangguk. Merah telinga Nizam menahan malu. Eisya tidak mahu membuka cerita akan tentang dirinya juga telah dirisik orang. Kalaulah Farhan tahu, macam mana agaknya reaksi lelaki itu.

“Bila awak nak bertunang?” Eisya merasakan telan nasi bagaikan menelan batu. Dia tidak bersuara sebaliknya membiarkan kedua-dua lelaki itu bercerita. 

“Kalau tak ada apa aral melintang, tak lama lagi.” Jawab Nizam dengan nada gembira. Dia sendiri pun tidak sabar untuk berumahtangga. Namun apakan daya, dia punya rancangan bersama dengan Farhan membuatkan dia menangguhkan pertunangan. 

“Al-hamdulillah… senang saya dengar. Nanti kalau awak kahwin jangan lupa jemput saya. Siapa yang bertuah tu?” Dup! Dap! Dup! Dap! Hati Eisya bagaikan mahu keluar dari tubuhnya. Wa…. Kenapa mesti cerita tentang hal ni? Cerita pasal makan boleh tak? Rasa macam nak menangis bila cerita pasal jodoh ni.

“Nanti saya akan kenalkan pada bos juga.” Senyum Nizam. Kemudiannya Farhan memandang kepada Eisya. 

“Seronok pula dengar orang nak kahwin ni. Nampaknya saya pun nak kahwin jugalah.” Ujar Farhan. Nizam ketawa. 

“Bos nak kahwin dengan siapa pulak?” Farhan menjeling manja kepada Eisya. 

“Dengan Eisyalah.” Kali ini Eisya benar-benar tersedak. Habis nasi tersembur mengenai Nizam. 

“Maaf, Nizam.” 

“Tak apa, tak teruk pun.” Sambut Nizam.

Pantas kepala Eisya memandang kepada Farhan. Kali ini Farhan benar-benar menguji dirinya. Eisya mematungkan dirinya. Rasa nak menangis pun ada. Nizam melirik kepada Farhan. Kasihan pula dia melihatkan Eisya yang sudah pucat bibirnya. Teruk betul si Farhan ni mengenakan Eisya. Mati kutu dibuatnya. Eisya meneguk air teh o dengan perlahan. Walau bagaimana pun Farhan perlu mengetahui akan hal yang sebenarnya. Biarlah lepas ni tak ada cerita tentang jodohnya dengan majikan yang angau!

“Maafkan saya, bos. Saya dah berpunya.” Perlahan sahaja tutur Eisya yang membuatkan Farhan membulatkan matanya.

“What!?” Terkejut Eisya mendengarkan suara Farhan yang memetir itu. Macam nak bergegar bilik pantry dibuatnya. Sakit telinga pun ada juga.

“Bos janganlah jerit. Sakit telinga saya dengar.” Ujar Eisya sambil menutup telinganya. 

“Kenapa awak tak beritahu dengan saya?” 

“Apa pasal pulak saya nak kena beritahu dengan bos? Tak ada kena mengena dengan bos pun.” Berani pula Eisya menjawab. Terus sahaja Farhan memandang kepada Eisya. 

“Bila masa awak bertunang? Kenapa tak jemput saya?” Nizam yang melihat adegan itu cuma mampu menahan tawa. Hebat betul kau berlakon, Farhan. Terkulat-kulat kau buatkan si Eisya tu. 

“Bila masa pulak saya kata saya dah bertunang?”

“Itu, tadi awak kata sudah berpunya.” 

“Berpunya tak semestinya bertunang.” Farhan memandang Eisya dengan pandangan nakal.

“Boleh tahan juga awak ni, Eisya.” Terbuntang mata Eisya saat Farhan memandangnya dengan pandangan nakal. Mesti Farhan memikirkannya yang bukan-bukan. 

“Bos tak baik tau. Saya tahulah batas saya.”

“Saya tak cakap apa-apa pun.” Eisya diam. Dia menarik nafas perlahan. Makin lama dia berdiam diri, makin teruk dia akan dikenakan oleh Farhan nanti.

“Saya sudah ada orang merisik.” Yes! Finally! Tenang hati Eisya bila dia melafazkan ayat itu.

“Merisik?” Eisya mengangguk. 

“Habis tu, awak setujulah.” Eisya mengangguk lagi. Hati Farhan mula diselubungi bunga-bunga bahagia. Kalau diikutkan hatinya, mahu dia mengukir senyuman. Chill Farhan. Sabar…. Kita korek lagi. 

“Macam mana awak boleh setuju?”

“Dah mak saya kata kahwin saya kahwinlah.” 

“Awak tahu siapa yang masuk meminang awak?” Eisya menggelengkan kepala.
atau

No comments:

Post a Comment