Red Hot Diva


SPECIAL OFFER RM35.00 SEM / RM38.00 SS 

termasuk poslaju
*selagi stok masih ada 

*BACAAN DEWASA*

atau
WhatsApp 010-4398892


QAISARA menjerit dan menangis sambil mencakar pipi Zilah yang bengkak. Suara jeritannya menakutkan Zilah, seperti suara orang yang diserang histeria. Zilah duduk semula, cuba menenangkan Qaisara tetapi Qaisara terus mencakar pipinya dengan kuat.
“Allah, Qaisara!” jerit Zilah, penuh kesakitan.
Pipinya ditekup dengan tapak tangan. Sakitnya tidak terkata. Kuku Qaisara panjang belum berketip lagi. Koyak kulit pipi Zilah yang luka dan masih belum sembuh dengan sepenuhnya.
Melihat mamanya mengaduh kesakitan, Qaisara semakin mengganaskan lagi serangan. Dia menarik rambut mamanya, memulas-mulas kepala mamanya dengan sekuat hati sehingga segenggam rambut Zilah tercabut dari umbinya.
“Qaisara... kenapa ni? Ya Allah!”
Qaisara masih tidak puas hati. Dia terus menampar-nampar muka mamanya. Leher baju mamanya pula menjadi mangsa tangan kecilnya. Baju Zilah ditarik sekuat hati sehingga koyak.
Zilah menangkap tangan Qaisara semasa anaknya cuba mencakar dadanya. Dia terus memeluk Qaisara dengan sekuat hati supaya Qaisara tidak dapat lagi mencederakannya.
“Qaisara!”
Qaisara menjerit nyaring. Tanpa Zilah sangka, Qaisara menggigit bahunya.
“Allah, Qaisara!”
Zilah menolak anaknya itu dengan kuat. Terpaksa. Bukan sengaja. Tubuh Qaisara terhumban ke kepala katil. Kepalanya terhantuk pada kepala katil yang diperbuat daripada kayu jati, menyebabkan anak kecil itu mengerang kesakitan sambil memegang kepalanya.
Qaisara meringkuk di tepi kepala katil itu sambil menangis. Matanya terus merenung Zilah. Semakin benci dia pada mamanya kerana menyakitinya.
Zilah terus mendapatkan Qaisara yang sudah lembik. Terus memeluk anaknya itu. Qaisara tidak melawan kerana dia terasa terlalu lemah. Kepalanya pula pening.
“Sayang mama. Mama mintak maaf, sayang,” pujuk Zilah sambil menggosok-gosok badan Qaisara.
Dia membacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan perlahan. Habis satu ayat, ditiupnya ke kepala anaknya itu sambil berdoa agar anaknya itu cepat tenang. Kemudian dia membaca ayat yang lain pula dan menghembus ayat itu ke kepala Qaisara seusai membacanya.
Qaisara tidak larat melawan mamanya lagi kerana kepalanya terlalu sakit. Dia membiarkan sahaja mamanya mengusap-usap badannya. Hatinya terasa tenang pula dengan usapan mama itu. Terasa seperti hendak bangun dan memeluk mamanya sahaja. Dia rindu pada mamanya tetapi dia masih marah!
Dia marah pada mamanya kerana selepas melahirkan Amsyar, mamanya langsung tidak mahu mempedulikannya lagi. Dia masih ingat lagi peristiwa selepas mamanya balik dari hospital bersama Amsyar tujuh tahun yang lalu.
Semasa itu mama duduk di atas katil sambil meriba Amsyar yang sedang menetek. Papa pun ada bersama mama dan Amsyar tetapi papa sedang tidur di atas katil itu, kepenatan setelah beberapa hari tidak tidur sejak sebelum Amsyar dilahirkan.
Di mana Qaisara?
Dia berdiri di pintu, merenung ke arah mama yang sedang membelai Amsyar. Dia mahu duduk bersama mama dan adik barunya. Dia menunggu mama memanggilnya tetapi mama tidak mengajaknya masuk langsung.
Mama hanya memandang ke arahnya sahaja. Renungan mama seolah-olah memberitahunya bahawa mama sudah tidak menyayanginya lagi sebab mama sudah ada Amsyar.
Dia merajuk tetapi mama tidak datang memujuk seperti kebiasaannya. Mama buat tidak tahu sahaja padanya. Dia baru berusia tiga tahun semasa itu. Dia masih memerlukan kasih sayang dan belaian mama. Tergamak mama mengabaikannya.
Mulai saat itu, dia menganggap mama memang sudah tidak menyayanginya lagi terutamanya apabila mama selalu memarahinya setiap kali dia mendekati Amsyar.
Mula-mula dahulu mama tidak marah bila dia bermain-main dengan Amsyar tetapi selepas dia mendukung Amsyar dan Amsyar terjatuh dari pelukannya, mama terus memarahinya. Mama pukul tangannya. Dia menangis kesakitan tetapi mama pukul lagi dan lagi. Selepas itu mama membiarkannya menangis seorang diri. Sedikit pun mama tidak mahu memujuknya. Dia menangis sehingga tertidur. Bila dia terjaga, mama terus tidak mempedulikannya.
Mama tidak tahu, dia masuk ke dalam bilik itu sebab Amsyar merengek-rengek mahukan susu. Mama pula di bilik air. Dia hanya mahu memujuk adiknya itu. Mahu mendodoi Amsyar sementara mama di dalam bilik air. Tetapi mama memukulnya pula.
Semakin dia yakin mama membencinya. Dan semakin hari semakin dia membenci mamanya. Dan juga Amsyar.
Hanya papa sahaja yang menyayanginya. Papa selalu menghiburkan hatinya, membawanya berjalan-jalan semasa mama sibuk dengan Amsyar. Hatinya terpujuk.
Tetapi selepas itu papa terpaksa bekerja di Melaka. Semuanya sebab mama. Mama yang menyuruh papa duduk di Melaka. Dia dengar semasa mama memujuk papa. Mama kata hidup mereka akan lebih senang jika papa terima tawaran pekerjaan di Melaka itu. Duit mereka akan lebih banyak.
Papa tidak mahu pergi tetapi mama paksa juga papa pergi ke sana.
Dia tahu mama sengaja menghalau papa keluar dari situ sebab papa selalu memarahi mama. Papa selalu bergaduh dengan mama. Dia tidak tahu punca papa selalu marah-marah pada mama tetapi dia yakin mamalah puncanya. Mama selalu buat salah dan selalu menyakiti hati papa. Sebab itulah papa marah.
Hidup siapa yang senang sebenarnya bila papa tidak ada bersama mereka? Hidupnya? Tidak! Dia selalu kesunyian. Dia selalu menangis kerana merindui papa. Mama memang tidak pernah memujuknya sebab mama memang tidak pernah menghiraukannya lagi semenjak Amsyar ada.
Jadi hidup siapa yang senang bila papa duduk di Melaka?
Hidup mama!
Bila papa duduk di Melaka, dia tengok mama selalu gembira. Selalu tersenyum. Bila papa balik, muka mama masam semula. Mama seperti tidak suka bila papa balik ke rumah mereka. Dan mama selalu bergaduh dengan papa. Muka mama pun selalu lebam-lebam kena pukul dengan papa. Dahulu dia tidak pernah nampak tetapi sejak papa duduk di Melaka, muka mama selalu lebam.
Memang padan muka mama kena pukul dengan papa. Dia suka tengok mama sakit. Biar mama rasa macam mana sakitnya hatinya kerana mama pisahkan papa darinya.
Dia bahagia bila papa ada bersama mereka tetapi setiap hari Ahad, papa tetap balik ke Melaka. Tetap meninggalkan mereka. Sepatutnya bila papa balik ke sini, papa duduk terus dengan mereka tetapi papa tetap balik ke Melaka. Dia tidak faham mengapa. Yang dia faham, mamalah puncanya.
Mama buat banyak benda yang dia tidak faham. Salah satunya, dia tidak faham kenapa mama menjual kereta Kelisa mereka. Bukankah kereta Kelisa itu menyenangkan hidup mereka? Kenapa mama jual juga sedangkan papa tidak bagi mama menjual kereta itu?
Dia dengar segala-galanya. Pada suatu petang, papa dan mama bersembang di dapur. Dia pula duduk di tepi pintu dapur sebab enggan berenggang dengan papa. Dia menunggu papa habis bercakap dengan mama, kemudian dia hendak mengajak papa keluar berjalan-jalan.
Semasa itu dia mendengar mama memberitahu papa bahawa mama hendak menjual kereta Kelisa itu. Papa kata, tak usahlah... sian kat anak-anak. Tetapi mama tetap berdegil. Mama bercakap tentang kira-kira yang dia buat. Qaisara tidak faham apa yang mama perkatakan tetapi selepas mama bercakap, papa pun berkata, saya tak suruh awak jual kereta tu. Tapi kalau awak nak jual jugak, awak tanggunglah susahnya!
Masalahnya bukan hidup mama seorang sahaja yang susah selepas mama menjual kereta Kelisa itu. Hidup Qaisara pun susah sama. Sudahlah susah, Qaisara terpaksa menanggung malu sebab terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain pergi ke sekolah menaiki kereta tetapi Qaisara terpaksa berjalan kaki.
Qaisara malu, mama tahu tak? Qaisara malu!
Badan Qaisara pun selalu penat sebab terpaksa berjalan jauh. Habis lencun baju sekolahnya dengan peluh tetapi mama buat tidak tahu sahaja. Mujur Cikgu Maira baik. Cikgu Maira selalu memujuknya dan memberi semangat padanya supaya rajin belajar.
Sebab itulah dia sayang pada Cikgu Maira. Sebab itu jugalah dia mahu Cikgu Maira berkahwin dengan papa. Cikgu Maira ada kereta. Kalau Cikgu Maira berkahwin dengan papa, dia tidak perlu lagi berjalan kaki pergi ke sekolah. Atau ke kelas fardhu ‘ain seperti sekarang ini. Balik sahaja dari sekolah, mama paksa dia pergi ke kelas fardhu ‘ain pula. Mama tahu tak dia penat? Mama tahu tak kakinya selalu sakit? Mama tahu tak?
Sekarang, papa dan mama sudah berbaik. Dia tengok papa sudah mula mendengar cakap mama. Papa pun sudah pandai melebihkan Amsyar sekarang. Dia takut papa akan membencinya seperti mana mama membencinya.
Dia takut. Dan dia semakin membenci mama sebab berjaya membuat papa mengikut cakap mama. Kelmarin papa membelikan mama kereta. Papa menyuruh mama pilih kereta apa yang mama mahukan dan mama pula menyuruh Amsyar memilih warna kereta mama. Kenapa mama tidak bertanya kepadanya dahulu? Bukankah dia yang lebih layak memilih warna kereta itu kerana dia anak sulung?
Papa pun buat tidak tahu sahaja padanya semasa di kedai menjual kereta itu. Papa tidak kisah pun bila mama bertanya pada Amsyar, kereta warna apa yang Amsyar suka. Apa... papa pun dah benci padanya ke?
Selepas itu papa tidak marah-marah mama lagi. Semasa hendak balik ke Melaka, papa sentuh pipi mama yang bengkak. Papa minta maaf pada mama. Papa cium pipi mama yang sebelah lagi.
Dia rasa seperti hendak menangis bila tengok papa cium pipi mama. Dia rasa seperti hendak membenci papa juga tetapi dia tidak sanggup. Dia hanya ada papa seorang sahaja di dunia ini. Kalau dia membenci papa, dia tidak punya sesiapa lagi.
‘Papa, tolong jangan benci kakak. Tolonglah, papa, jangan baik dengan mama. Mama jahat. Mama selalu buat kakak. Mama selalu pukul kakak. Kakak sayang papa. Tolong jangan benci kakak,’ tangis hati Qaisara.
Air matanya berderai. Dia tersedu-sedu hingga akhirnya dia tertidur dalam pelukan mamanya.
ZILAH ke bilik air di dalam bilik tidur utama. Dibasuh mukanya yang berdarah. Mengeluh dia kesakitan. Luka cakaran kuku Qaisara tidak dalam tetapi disebabkan Qaisara mencakar pada bahagian yang memang sediakala cedera, kesakitan yang dirasainya berganda-ganda. Ngilunya masih terasa.
Kemudian dia memeriksa kesan gigitan Qaisara pada bahunya pula. Yang itu kecederaannya sangat dalam. Kesan gigi Qaisara nampak jelas. Mujur cepat dia menolak Qaisara. Kalau tidak, sudah terkoyak agaknya daging kulitnya itu.
Luka gigitan itu dibasuh. Mengerenyot mukanya menahan kesakitan. Allah, Qaisara... sampai hati kakak gigit mama, desis hati Zilah.
Segera dia mengambil iodine dari kotak vanity lalu disapunya iodine itu pada lukanya. Ubat kuning itu memang serasi dengannya tetapi jika lukanya itu melarat, terpaksalah dia ke klinik. Boleh terus dapatkan rawatan untuk Qaisara dan Amsyar sekali. Cepat dia memperoleh surat rujukan daripada doktor itu, cepat dia membawa anak-anaknya mendapatkan bantuan doktor pakar.
Keluar dari bilik air, Zilah terkejut apabila melihat Amsyar duduk terjelepuk di tepi pintu bilik tidurnya. Wajah Amsyar pucat. Dia kelihatan sedih dan lemah.
Cemas, Zilah bergegas mendapatkan Amsyar.
“Kenapa ni, sayang?”
Zilah mengangkat Amsyar dan meletakkan anaknya di atas riba.
“Amsyar, kenapa?” soal Zilah.
Amsyar tidak menjawab. Dipandangnya pipi Zilah yang merah. Matanya melirik ke arah kesan gigitan pada bahu Zilah. Terus dia mengetap bibir.
Dia saksikan tadi bagaimana kakaknya menyerang mamanya. Dia nampak dan dia hendak menolong mamanya tetapi kakinya terasa berat. Dia hanya mampu memandang sahaja dengan mata yang berkaca.
“Kakak tak sihat, sayang,” pujuk Zilah. “Bukan sengaja dia nak gigit mama.”
Amsyar memejamkan matanya. Air jernih meleleh dari sudut matanya.
“Jangan nangis, sayang. Mama tak apa-apa.” Zilah mencempung Amsyar lalu dibawanya ke katil. “Kita tidur kat sini, ya. Tak baik tidur lepas asar tapi mama penat. Kita tidur sekejap, ya.”
Amsyar tidak membantah. Dia memeluk Zilah dengan erat. Terkebil-kebil matanya memikirkan tentang serangan kakaknya tadi. Kenapa papa dan kakak suka sangat menyakiti hati mama, padahal mama tidak pernah marah-marah pada papa atau kakak. Mama yang selalu kena jerkah dengan papa dan kakak.
Amsyar tidak faham tetapi dia bulatkan hati untuk menjaga mama. Dia tidak akan benarkan sesiapa menyakiti mamanya lagi.
Mereka tertidur di situ. Tidak sedar langsung semasa Qaisara memerhatikan mereka dari pintu yang terbuka, dengan deraian air mata.

“SHE DID WHAT?”
“Abang, tak payahlah menjerit,” tegur Zilah.
“Melampau dah Qaisara ni!” gerutu Hakim.
Hmm... daripada siapa Qaisara belajar agaknya, desis hati Zilah. Tetapi dalam hati sahajalah dia bertanyakan soalan itu. Bawa keluar nanti, habis rosak semua yang cuba mereka bina semula.
“Saya rasa kita kena bawak dia orang jumpa doktor, bang.”
“Dia orang? Amsyar pun serang awak ke?”
“Tak. Qaisara je.”
Dan awak. Awak serang saya dan Amsyar nampak masa tu. Lepas tu awak tolak dia, awak ingat tak? Sejak malam tu Amsyar tak nak bercakap dengan sesiapa pun. Takkan awak tak perasan anak bongsu awak tak bersuara langsung?
“Habis tu kenapa nak bawak Amsyar sekali?” Hakim bingung.
“Abang tak perasan ke Amsyar diam je sejak malam tu?”
“Tak payahlah ungkit!” Hakim mula naik darah.
“Abang! Saya bercakap pasal anak-anak kita. Tolong jangan nak sentap tak tentu pasal!” tegur Zilah dengan lembut, padahal dia terasa seperti hendak menjerkah Hakim.
Dia risaukan anak-anak mereka, Hakim kalihkan topik penting itu dan jadikan cakap Zilah sebagai isu dia pula. Sengaja betullah Hakim ini. Bilalah agaknya dia hendak berubah? Cepatlah perangai buruknya itu terhakis dari dirinya. Lelah dah Zilah melayannya.
“Okey, okey, okey, okey... what do you suggest?”
“Bila abang balik sini?”
“Hujung minggu macam biasa.”
“Hurm... lambat. Saya ingat nak pergi ke klinik esok.”
“Okey. Pergilah. Ada duit ke? Luka macam tu mesti mahal ubatnya.”
“Tak kisahlah, bang! Janji tak melarat.”
Haisy... meradang betul Zilah rasa. Dia sakit sekarang. Bahu dan pipinya tidak berhenti berdenyut sejak dari tadi. Takkan itu pun Hakim hendak berkira?
“Hurm...” Hakim berjeda. Jawapan Zilah itu membuatkan hatinya curiga. “Mana awak dapat duit?”
“Apalah abang ni! Masalah ke kalau saya pakai duit yang abang bagi hari tu?” Zilah mula naik darah.
“Takdelah. Abang tanya je. Takkan tanya pun tak boleh?”
“Abang jangan nak berkira sangat dengan saya. Saya ni isteri. Emak anak-anak abang. Kalau saya sakit, satu sen pun duit awak tu tak berguna tau tak!” Zilah semakin meradang.
“Okey. Sorry, sorry, sorry...”
“Saya nak bawa Qaisara ngan Amsyar sekali. Saya nak dapatkan surat rujukan daripada doktor tu.”
“Surat rujukan untuk apa?”
“Bawak anak-anak jumpa doktor pakar.”
“Pakar apa?”
“Psikologilah kut.”
“No way, Zilah! No fucking way!”
“Kenapa pulak?”
Sakit betul hati Zilah bila mendengar perkataan fucking menyelit dalam perbualan mereka. Janji Hakim hilang ke mana? Balik-balik perkataan itu yang disebutnya. Macamlah tidak ada perkataan elok yang boleh dituturkan oleh lidahnya!
“Kau sanggup orang gelar anak-anak kita gila?” marah Hakim lagi.
“Sebelum dia orang jadi gila betul-betul, lebih baik kita fix dia orang. Itu tanggungjawab kita, bang. Jangan lepas tangan je. Kita punca dia orang jadi macam tu!”
Zilah tidak mahu cakap bertapis lagi. Meradang betul dia dengan sikap Hakim. Kerana malu pada pandangan orang, Hakim sanggup membiarkan anak-anak menderita tanpa mendapat rawatan yang selayaknya. Mentaliti lapuk betullah. Sudahlah cauvinis!
Hakim berjeda.
“No way!” Akhirnya Hakim bersuara.
Hatinya sudah tetap. Dia tidak akan mengizinkan Zilah membawa anak-anaknya berjumpa dengan doktor pakar.
“Abang nak tunggu sampai bila baru nak bawak anak-anak dapatkan rawatan? Nak tunggu sampai dah teruk baru nak cari doktor? Get reallah, bang! Ni anak-anak kita.”
“Abang tahulah dia orang tu anak-anak kita. Sebab tu abang tak bagi. Awak emaknya. Awaklah cuba rawat dia orang dulu. Tak payah nak jumpa doktor pakar bagai!” bantah Hakim.
“Ada sebab mengapa doktor-doktor pakar tu dapat gelaran doktor pakar! Kalau saya ada gelaran tu, dah lama saya rawat anak-anak kita. Dengan awak-awak sekali saya rawat. Tak payah saya nak berbincang bagai dengan awak. Menyakitkan hati je!”
Terluah juga isi hati Zilah yang sebenar. Hakim hendak marah atau mengamuk, Zilah peduli apa? Masa hadapan anak-anak mereka sangat kelam sekarang.
Zilah tidak sanggup membiarkan Hakim merosakkan hidup anak-anak mereka pula. Cukuplah hidupnya seorang yang Hakim musnahkan. Dia sudah nekad. Dia akan mendapatkan bantuan yang Qaisara dan Amsyar perlukan, tidak kiralah sama ada Hakim bersetuju atau tidak dia tetap akan membawa Qaisara dan Amsyar berjumpa doktor pakar.
“Menyakitkan hati ya berbincang dengan aku? Kau ingat aku tak sakit hati bila bercakap dengan kau?” Berdesir suara yang keluar dari mulut Hakim.
“Hurm... dah mulalah tu. Dah mula! Orang nak selesaikan masalah anak-anak, dia bukannya nak tolong. Dia cari benda yang tak ada dan besar-besarkan benda tu. Hello! The world doesn’t revolve around you alone, Encik Hakim! Why don’t you focus on the things that really matter!” tempelak Zilah.
Sukarnya berdiskusi dengan Hakim. Lelaki itu seolah-olah bukan manusia. Tidak ada perasaan langsung terhadap keluarga sendiri.
Hakim berjeda. Mengetap bibir menahan api kemarahan yang sudah mula menyala. Zilah terlalu kurang ajar malam itu. Terlalu angkuh.
Apa Zilah fikir dia boleh melakukan sesuka hatinya setelah Hakim berjanji akan berubah? No way, Jose! Berubah macam mana sekali pun, Hakim tetap suami. Tetap berkuasa. Sama ada Zilah suka atau tidak, Zilah wajib menurut perintahnya. Menerima keputusannya.
“Kau nak masuk neraka ke?”
“Abang! Cuba jangan...”
“Kau nak masuk neraka ke?” ulang Hakim. Suaranya semakin keras.
“Ah, sudahlah!”
Zilah putuskan panggilan dan mematikan telefon bimbitnya. Bosan sangat dia dengan sikap Hakim. Anak-anak sakit, Hakim faham tak? Anak-anak sakit! Zilah pun sakit. Mereka tiga beranak memerlukan rawatan tetapi Hakim sibuk tunjuk kuasa.
Sedarlah sikit, sudah ramai suami yang menerima bala kerana menyalahgunakan kuasa terhadap isteri sendiri. Hakim hendak masuk dalam golongan itukah?
“Lantak dialah nak masuk golongan mana. Baik aku siapkan kerja aku. Dapat jugak duit!” Zilah mengomel sendiri.
Hakim terlalu risaukan duitnya dan juga pandangan orang luar terhadap dirinya, sampai dia tidak boleh berfikir apa yang terbaik untuk anak-anak. Anak-anak betul jadi gila nanti macam mana? Lagilah malu. Mana boleh sorok jika sudah jadi begitu!
“Lelaki cauvinis, ada ijazah bergulung-gulung pun kalau dah namanya cauvinis, tetap bodoh!” gerutu hati Zilah.
Dia memulakan kerja. Nombor adalah cinta pertamanya. Tidak sampai sesaat, Zilah hilang dalam keghairahannya menyelesaikan masalah klien Joe.

No comments:

Post a Comment